Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saraswathy Kandasamy

KUALA LUMPUR – Isu ketiadaan kewarganegaraan dan keciciran pendidikan kanak-kanak akan menjadi fokus utama Inisiatif Aram yang dilancarkan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Saraswathy Kandasami, hari ini.

Untuk makluman, Aram dalam klasik Tamil bermaksud asas bagi kesejahteraan individu dan masyarakat secara keseluruhan.

Saraswathy yang juga Ahli Dewan Negara dan Naib Presiden PKR menjelaskan, inisiatif tersebut adalah untuk membantu golongan yang telah bermastautin di Malaysia sejak sebelum merdeka dan keturunan mereka yang masih tidak mendapat kewarganegaraan.

Menurut beliau, Inisiatif Aram juga bertujuan memastikan setiap kanak-kanak, tanpa mengira latar belakang mendapat akses penuh kepada pendidikan berkualiti.

“Sebenarnya inisiatif ini juga merupakan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pada tahun lepas. Aram bertujuan mengatasi isu intergenerasi yang melibatkan status kewarganegaraan dan keciciran pendidikan dengan menyediakan penyelesaian jangka panjang melalui kerjasama pelbagai pihak.

“Kita mahu membina sebuah negara yang inklusif, di mana setiap individu diiktiraf, diberikan hak, dan peluang sama rata untuk menikmati sumber negara, Aram adalah sebahagian daripada usaha ini,” katanya hari ini.

Inisiatif Aram oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy

Kata beliau lagi, masalah ketiadaan kewarganegaraan menghalang ramai individu daripada mendapatkan pendidikan, pekerjaan, dan akses kepada perkhidmatan asas sekaligus Aram akan berperanan sebagai penghubung antara kerajaan dan golongan ini untuk memastikan hak mereka diiktiraf.

Dalam pada itu, Saraswathy turut menyuarakan kebimbangan mengenai kanak-kanak tercicir dalam pendidikan, terutama daripada keluarga miskin tegar atau yang menghadapi ketidakstabilan sosial.

“Banyak keluarga tidak mampu menanggung kos seperti pengangkutan ke sekolah, dan ada kanak-kanak terpaksa berhenti belajar untuk bekerja. Melalui Aram, kita mahu memastikan tiada kanak-kanak yang tertinggal dalam arus pendidikan formal.

“Ini bukan sekadar satu inisiatif, tetapi komitmen kerajaan untuk memastikan hak setiap rakyat dilindungi. Dengan kerjasama semua pihak, program ini diharap dapat membawa perubahan positif kepada masyarakat, terutama mereka yang berada di pinggiran sosioekonomi.

“Ini adalah langkah ke hadapan dalam membina Malaysia yang lebih adil dan harmoni,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here