IPOH – Istilah ‘UMDAP’ yang merujuk kepada gelaran kerjasama politik UMNO dan DAP tidak pernah wujud dalam Kerajaan Perpaduan yang menerajui kepimpinan negara ketika ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya istilah berkenaan hanya propaganda yang dibentuk musuh-musuh politik.
“Dalam mesyuarat kabinet Setiausaha Agung DAP (Anthony Loke Siew Fook) duduk di sebelah saya, dan saya duduk di sebelah kanan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Bagaimana soal UMDAP menjadi propaganda musuh politik?
“Kita tidak istiqamah mempertahankan bahawa UMDAP tidak wujud. Sebaliknya yang wujud ialah BN-PH (Pakatan Harapan) atau PH-BN. DAP sebahagian daripada PH, begitu juga MCA, MIC, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), sebahagian daripada BN,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Konvensyen BN Negeri Perak 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Ahad.
Hadir sama pada majlis itu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Pengerusi MIC Perak, Tan Sri M Ramasamy dan Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon.
Ia turut dihadiri wakil-wakil daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi, Pengerusi PKR Negeri, Mohamad Hairul Amir Sabri serta Ahli Jawatankuasa DAP Nasional, Howard Lee Chuan How.
Tambah Ahmad Zahid lagi, DAP juga tidak tidak pernah menentang sebarang agenda bumiputera yang dibangkitkan dalam mana-mana mesyuarat Kabinet kerana mendokong bahawa ia adalah agenda nasional.
“Sewaktu saya dan Perdana Menteri sebut agenda Islam atau Melayu sebagai agenda nasional termasuk arahan untuk saya mempengerusikan kongres ekonomi bumiputera tidak ada tentangan daripada DAP.
“Ini kerana agenda bumiputera itu merupakan agenda nasional dan DAP menyokong agenda ini hingga ke peringkat kabinet. Kita jangan terjebak dengan propaganda pihak lawan,” katanya lagi.
Ujar beliau, walaupun BN hanya memenangi 30 kerusi Parlimen, tetapi parti itu diberikan tujuh jawatan menteri penuh dan enam jawatan timbalan menteri.
Ahmad Zahid berkata, ia berbanding DAP yang mempunyai 40 kerusi namun hanya diberikan lima jawatan menteri penuh.
Kata beliau, ia adalah hakikat politik baharu yang mana Negeri Perak dan Pahang menjadi ‘game changer’ atau pengubah keadaan terhadap situasi politik tanah air. – MG Perak