SHAH ALAM – Sebuah jawatankuasa khas akan dibentuk bagi mencari penyelesaian kepada isu kekurangan beras putih tempatan yang berlaku ketika ini sehingga mencetuskan pertikaian banyak pihak.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya juga akan menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak lain termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengatasi masalah tersebut.
“Jawatankuasa ini sedang disusun dan Ketua Setiausaha, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) juga akan ambil isu ini sebagai isu yang besar untuk kita cari jalan penyelesaian yang terbaik,” katanya.
Beliau yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Negeri Selangor Parti Amanah Negara 2024 di sini, hari ini.
Mohamad ditanya berkenaan kontroversi kekurangan beras putih tempatan di pasaran ketika ini sehingga menimbulkan pertikaian banyak pihak termasuk beberapa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang membangkitkan mengenainya ketika sidang Dewan Rakyat.
Antara yang lantang membangkitkan isu itu ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang mendakwa beliau sendiri sukar mendapatkan beras putih tempatan di kawasannya sekali gus turut mempersoalkan mengenai peranan serta tanggungjawab bahagian Kawalselia Padi dan Beras (KPB).
Sementara itu, tambah Mohamad, pihaknya ketika ini juga sedang dalam usaha mentransformasikan agensi dan badan berkaitan pengeluaran padi negara termasuk Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bagi mengatasi masalah kekurangan beras tempatan.
Dalam masa sama, ujarnya, isu kekurangan bahan makanan itu juga berkait dengan faktor luaran iaitu cuaca seperti musim hujan yang sedang melanda negara ketika ini.
Sebagai langkah penyelesaian jangka panjang, pula, tambah beliau, pihaknya akan mempromosikan daerah Sekinchan dekat sini, sebagai jelapang padi secara besar-besaran untuk meningkatkan pengeluaran padi pada masa depan. – MalaysiaGazette