KUALA LUMPUR- Penerbangan MH79 dari Hong Kong ke Kuala Lumpur, hari ini, telah dilencongkan ke Lapangan Terbang Ho Chi Minh City akibat isu teknikal semasa penerbangan.
MAS dalam kenyataan berkata, juruterbang bertugas membuat keputusan tersebut demi keselamatan penumpang.
Katanya, pesawat tersebut terpaksa dilencongkan bagi memastikan isu berkenaan dapat diselesaikan sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi asal iaitu Kuala Lumpur.
Penerbangan itu yang membawa 147 penumpang dan tujuh anak kapal selamat mendarat pada jam 10:40 pagi tadi.
Para penumpang kini sedang dialihkan ke penerbangan alternatif untuk memastikan mereka tiba di destinasi masing-masing, sementara sebahagian daripada mereka disediakan penginapan di hotel berdekatan lapangan terbang.
“Malaysia Airlines kesal atas kesulitan dan gangguan kepada rancangan perjalanan para penumpang.
“Keselamatan tetap menjadi keutamaan nombor satu bagi Malaysia Airlines,” katanya. -MalaysiaGazette