Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Seoul Air Base bagi memulakan lawatan rasmi PM di Korea Selatan, 24 November, 2024. - SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: This photos may only be used for editorial reporting purposes for the contemporaneous illustration of events, things or the people in the image or facts mentioned in the caption. Reuse of the pictures may require further permission. MANDATORY CREDIT - SADIQ ASYRAF/Prime Minister’s Office of Malaysia

SEOUL- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini hari ini sempena lawatan rasmi tiga hari bagi mengukuhkan lagi hubungan bilateral sedia ada antara Malaysia dengan Korea Selatan.

Malaysia dan Korea Selatan bakal menyambut ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tahun depan.

Pesawat khas yang membawa Anwar tiba di Pangkalan Udara Seoul pada 9.55 malam (8.55 malam waktu Malaysia) dan beliau disambut Jurucakap dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Awam Korea Selatan Lee Jaewoong, Duta Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung Bae dan Duta Malaysia ke Korea Selatan Datuk Mohd Zamruni Khalid.

Perdana Menteri diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dan pegawai kanan kerajaan.

Perdana Menteri kemudian diberikan sambutan rasmi di pangkalan udara berkenaan itu.

Menurut Mohd Zamruni, lawatan tersebut atas jemputan Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol.

“Pada Isnin (esok), Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat dengan Presiden Yoon di Pejabat Presiden Yongsan.

“Kedua-dua pemimpin akan membincangkan secara terperinci hubungan dua hala Malaysia-Korea Selatan yang secara signifikan telah berkembang, meliputi isu-isu relevan dan penting, sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1960.

“Mereka turut dijangkakan berbincang mengenai isu berkepentingan bersama serantau dan antarabangsa serta bertukar pandangan mengenai Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia dan Korea Selatan sebagai Pengerusi APEC, kedua-duanya pada 2025,” katanya.

Anwar dan Yoon akan turut menyaksikan pertukaran tiga memorandum persefahaman iaitu mengenai Kerjasama dalam Bidang Pendidikan Tinggi, Kerjasama dalam Bidang Penangkapan dan Penyimpanan Karbon serta Kerjasama dalam Pendekatan Kerjasama Di Bawah Artikel 6 Perenggan 2 Perjanjian Paris.

Dalam lawatan itu, Perdana Menteri akan turut bertemu pemimpin perniagaan utama menerusi Forum Perniagaan Malaysia-Korea Selatan selain pertemuan dengan Konglomerat Korea Selatan bagi meneroka peluang ekonomi di Malaysia.

Sesi berkenaan akan mengetengahkan keutamaan dan inisiatif strategik Malaysia, memfokuskan pada pertumbuhan ekonomi dan fiskal serta peluang perdagangan dan pelaburan.

Pada Selasa, Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama khas bertajuk “Rakan Strategik dalam Dunia Kompleks: Malaysia, Korea dan Masa Depan Asia” (Strategic Partners in a Complex World: Malaysia, Korea, and the Future of Asia) di Seoul National University.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here