Antara barangan kes yang disamun oleh suspek dalam kejadian di Puchong Utama, Puchong, Selangor. Foto PDRM

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga tempatan ditahan selepas bertindak mengikat seorang wanita warga asing dan menyamun sebuah rumah yang didiami mangsa di Puchong Utama, Puchong, Selangor, hari ini.

Suspek berusia 25 tahun itu telah dicekup di sekitar jam 2 pagi tadi oleh sepasukan polis dari Balai Polis Bukit Puchong dengan merampas kesemua barangan kes di kawasan Taman Puchong Permai.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asistent Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, polis telah menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang perempuan warga asing sekitar jam 9 malam semalam.

“Hasil siasatan mendapati, rumah itu didiami empat wanita warga asing dan ketika kejadian, pengadu tinggal berseorangan tanpa mengunci pintu.

“Suspek telah masuk ke rumah mangsa melalui pintu depan dengan bersenjatakan sebilah gunting. Dalam ketakutan, mangsa telah menjerit meminta tolong.

“Keadaan itu menyebabkan suspek memasukkan baju ke dalam mulut mangsa dan mengikat tangannya dengan kain. Kemudian, suspek menyelongkar seluruh rumah dan mengambil beberapa barang berharga serta melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rumah yang dihuni empat wanita warga asing disamun suspek di Puchong Utama, Puchong, Selangor. Foto PDRM

Tambah beliau, suspek telah mengambil sebentuk cincin emas, wang tunai bernilai RM600, dan seunit telefon bimbit jenis Oppo dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM2,500.

“Susulan tangkapan itu, suspek telah dibawa ke Mahkamah Shah Alam dan dikenakan reman enam hari bermula hari ini hingga 29 November depan untuk siasatan lanjut.

“Kes terbabit disiasat dibawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan (AKta 54) iaitu kesalahan merompak dengan bersenjata atau rompak serta mencuba menyebabkan kematian atau cedera parah,” jelasnya.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta tampil menyalurkan maklumat dan memberikan kerjasama melalui nombor telefon 03-786272222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Fathurrahman Ampandi di talian 011-29395178. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here