KAHERAH – Seramai 17 orang hilang termasuk warga asing selepas bot pelancong karam di Laut Merah.
Pihak berkuasa Mesir berkata, 28 orang berjaya diselamatkan.
“Kami menerima isyarat kecemasan pada jam 5.30 pagi (03:30 GMT) dari Sea Story, yang meninggalkan pelabuhan berhampiran Marsa Alam pada hari Sabtu untuk perjalanan menyelam lima hari dengan 31 pelancong dan 14 anak kapal,” menurut gabenor wilayah Laut Merah .
Mejar Jeneral Amr Hanafi berkata, mangsa yang terselamat ditemui di kawasan Wadi el-Gemal, selatan Marsa Alam, dan mereka sedang menerima rawatan perubatan yang diperlukan.
Beliau menambah, kapal perang tentera laut Mesir El Fateh dan pesawat tentera sedang mempergiatkan usaha mereka untuk mencari mangsa yang hilang.
Menurut majlis tempatan di Marsa Alam, kru Sea Story semuanya warga Mesir dan pelancong di atas kapal itu termasuk warga British, Sepanyol, Jerman, AS, Slovakia, Switzerland, Belgium, Poland, Norway, Ireland, Finland dan China.
Marsa Alam ialah destinasi popular untuk pelancong di pantai Laut Merah selatan Mesir dan dikelilingi tempat menyelam, termasuk terumbu karang yang terkenal.
Tiada ulasan segera daripada pemilik dan pengendali Sea Story yang berpangkalan di Mesir, Dive Pro Liveaboard.
Tetapi laman webnya mengatakan kapal sepanjang 44 meter itu dibina pada tahun 2022.
Ia mempunyai empat dek dan 18 kabin yang boleh memuatkan sehingga 36 penumpang. – Agensi