Timbalan Ketua Pemuda Amanah Perak, Ahmad Munzirie Ahmad Kabir

KUALA LUMPUR – Pemuda Amanah Perak menyambut baik komitmen Barisan Nasional (BN) untuk meletakkan lebih ramai calon muda dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Timbalan ketuanya, Ahmad Munzirie Ahmad Kabir berkata, ia membuktikan semua parti komponen Kerajaan Perpaduan berkongsi aspirasi dan misi sama untuk memberi ruang kepada generasi pelapis dalam politik negara.

“Kesediaan memberi peluang kepada anak muda yang disuarakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sejajar dengan semangat pembaharuan yang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan.

“Kejayaan calon-calon muda dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan Mahkota membuktikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan generasi baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan Ahmad Zahid berkata, BN akan mengetengahkan ramai calon muka baharu, terutama dalam kalangan anak muda pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, usaha itu menjadi satu dari lima langkah yang digariskan dalam memperkukuh parti-parti komponen BN bagi meraih sokongan rakyat.

Menurut Ahmad Munzirie, hubungan erat antara Pakatan Harapan (PH) dan BN yang semakin kukuh dalam Kerajaan Perpaduan memberi harapan baharu kepada politik Malaysia.

“Kerjasama ini perlu diterus dan diperkukuhkan sehingga PRU akan datang demi memastikan kelangsungan agenda reformasi dan pembangunan negara.

“Kejayaan kerjasama ini dalam beberapa siri PRK membuktikan rakyat menyokong model dan modul politik matang yang mengutamakan perpaduan.

“Kesepaduan dan kesepakatan dalam pendekatan ini memberi isyarat jelas bahawa masa depan politik Malaysia akan terus memberi ruang kepada suara dan penglibatan anak muda,” katanya lagi.

Menurutnya, perpaduan politik yang wujud hari ini membuka dimensi baharu dalam melahirkan pemimpin pelapis yang berkaliber tanpa mengira latar parti politik.

“Pendekatan mesra belia ini perlu dizahirkan dalam semua lapisan masyarakat. Buka ruang seluas-luasnya untuk membolehkan anak muda mengambil bahagian dalam kepimpinan komuniti dan proses membuat keputusan.

“Platform untuk mereka menyuarakan pandangan perlu diperkasakan, sambil membina ekosistem yang menyokong pembangunan bakat kepimpinan muda,” katanya lagi.

Beliau berkata, semangat perpaduan yang ditunjukkan dalam kalangan pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan untuk memberi ruang kepada anak muda perlu diteruskan.

“Kerjasama erat antara PH dan BN perlu diperkukuhkan lagi menjelang PRU akan datang untuk memastikan kelestarian dasar-dasar yang memberi manfaat kepada generasi muda,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here