KULAI – Dua pemandu dan seorang penunggang nyaris maut selepas sebuah lori, kereta dan motosikal terlibat dalam kemalangan di Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 10.12 pagi melibatkan kereta Proton Persona, lori Hino dan motosikal.
“Siasatan awal pihak polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa pemandu Proton Persona dipandu seorang wanita tempatan berusia 39 tahun cuba memotong lori terbabit.
“Proton Persona tersebut cuba memotong lori berkenaan yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun dari sebelah kanan garisan putih berkembar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, ketika cuba memotong tiba-tiba datang sebuah motosikal dari arah bertentangan menyebabkan wanita tersebut cuba mengelak.
Tindakan itu ujarnya, menyebabkan Proton Persona itu bergesel dengan lori tersebut lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri manakala lori itu pula hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan.
“Akibat kemalangan tersebut, pemandu kereta dan lori tersebut mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk rawatan,” ujarnya.
Sementara penunggang terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.
Seng Lee menambah, kes tersebut disiasat bawah Rule 10 LN166/59 dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Norul Akma Abduk Razak 012-7113532.
Menurutnya, mereka juga boleh hadir ke Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.
Video berkenaan kemalangan tersebut tular dalam laman media sosial.- MalaysiaGazette