Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan Pas Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff. - Foto: FB Nurul Mohamed Yusoff.

KUALA LUMPUR – Pas memulangkan paku buah keras kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang sebelum ini meminta pemimpin parti itu supaya tidak bermimpi untuk menjadi Perdana Menteri.

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan Pas Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, ramai pemimpin Pas sudah membuktikan kredibiliti sebagai pemimpin, sekali gus layak berada dalam barisan kepimpinan utama negara.

Beliau mengambil contoh ketika Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air, pelbagai projek tebatan banjir yang sepatutnya dapat menyelesaikan masalah banjir telah dilaksana dan dirancang, walaupun kemudiannya dibatalkan oleh kerajaan hari ini.

Selain itu, katanya, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika menjadi Menteri Tenaga dan Sumber Asli, banyak merancang dan melaksanakan pembaharuan dalam teknologi hijau dan neutral karbon.

Di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, pula, ujarnya, Kedah berjaya mencapai pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi dalam negara mengalahkan Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

Selain itu, tambah beliau, di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Dr. Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, Terengganu berjaya menutup hutang yang ditinggalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

“Kesemua GLC-GLC (syarikat milik kerajaan negeri) utama Negeri Terengganu yang sebelum ini catat kerugian kini dah mencatat keuntungan.

“Jadi Dato (Zaid), Pas bukan hanya melihat kepada lesen judi, arak, pusat hiburan sahaja. Banyak lagi aspek pentadbiran kita berjaya buktikan kecemerlangan. Aspek pentadbiran, ekonomi, GLC,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Sebelum ini, Zaid dilaporkan berkata, tiada pemimpin Pas yang sesuai untuk menjadi Perdana Menteri kerana parti itu hanya mampu menarik sokongan Melayu di Perak, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Selain itu, kata Zaid, individu yang layak untuk menjadi Perdana Menteri adalah mereka yang bersedia membanteras rasuah, bukannya hanya membicarakan soal menutup premis judi, pusat urut, penyalahgunaan alkohol dan restoran Cina tidak halal yang dibayangkan dilakukan oleh pemimpin Pas.

Menjawab kepada kenyataan Zaid itu, Nurul Islam berkata, naratif Pas merupakan parti `Tok Lebai’, parti kuno, parti konservatif dan hanya layak berceramah agama adalah naratif yang ketinggalan zaman.

Berhubung `sin industry’, jelasnya, adalah menjadi tanggungjawab sebagai pemimpin beragama Islam untuk percaya sumber kepada negeri yang datang dari hasil yang halal akan membawa kepada keberkatan rezeki dan kejayaan negeri itu sendiri.

“Nampak sangat awak dah “expired” dan tidak mengikuti perkembangan semasa. Please update yourself Dato’,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, berhubung siapa yang akan menjadi Perdana Menteri, perkara itu akan dibincangkan dan diputuskan secara dalaman dalam kalangan pimpinan Perikatan Nasional (PN).

“Insya-Allah kami harmoni je dan boleh terima keputusan pimpinan PN. Tak perlu yang takde kaitan untuk jadi batu api,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here