SUNGAI BULOH – Sekumpulan remaja yang nyaris lemas selepas terjatuh dalam sebuah tasik di kawasan Puncak Alam di sini pada Ahad lalu berjaya diselamatkan ekoran tindakan pantas dan berani seorang anggota tentera.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pada jam lebih kurang 12.30 tengah hari semalam, pihaknya menerima satu panggilan kecemasan daripada orang awam melaporkan mengenai insiden itu.
“Menurut panggilan itu seramai empat orang remaja telah terjatuh dalam tasik di kawasan Puncak Alam. Berikutan dari maklumat, polis telah menghubungi Balai Bomba Bukit Jelutong dan menghantar kereta peronda polis ke lokasi untuk memberikan bantuan segera.
“Setiba di lokasi, polis telah dimaklumkan bahawa empat remaja yang dikhuatiri lemas itu telah berjaya diselamatkan oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang awam berkenaan merupakan seorang anggota tentera, Mohd Nor Khalid yang bertugas di Kem Sungai Buloh.
Tambah Mohd Hafiz, hasil siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku apabila sekumpulan enam remaja berusia 13 tahun itu keluar memancing menggunakan sebuah sampan yang terdampar di tepi tasik sebelum karam.
“Dua remaja berjaya menyelamatkan diri sendiri kerana berkemahiran berenang manakala rakan-rakannya diselamatkan oleh orang awam,” ujarnya.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Mohd Nor kerana bertindak pantas menyelamatkan empat orang remaja daripada lemas semasa kejadian itu. – MalaysiaGazette