KUALA LUMPUR – Jenazah maestro muzik tanah air, Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (Kuala Lumpur – Karak) pukul 11.20 pagi ini.
Antara rakan artis yang hadir memberi penghormatan adalah penyanyi, Datuk Jamal Abdillah, Datuk M Nasir, Datuk Yusof Haslam dan Salamiah Hassan.
Sebelum itu, jenazah selesai disolatkan di Surau Al-Tarbiah Al-Islamiah di Taman Melewar pukul 10.30 pagi yang terletak berdekatan dengan rumah allahyarham.
Solat jenazah dilaksanakan pada pukul 9.57 pagi dan selesai kira-kira 10 pagi.
Turut hadir adalah dua bekas menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang turut menyertai solat jenazah.
Ahmad Nawab yang merupakan anak kelahiran Pulau Pinang meninggal dunia akibat sakit tua kira-kira 3.15 petang semalam.
Sepanjang kariernya, Ahmad Nawab menghasilkan lebih 200 album yang didendangkan artis tempatan dan Indonesia seperti Hetty Koes Endang dan Broery Marantika.
Ahmad Nawab juga menggubah lagu Malaysia Truly Asia dendangan Datuk Khadijah Ibrahim yang dianggap dendangan ikon kepada lagu bertemakan pelancongan bagi mempromosikan Malaysia di persada antarabangsa.
Ahmad Nawab pernah berkhidmat dengan Orkestra RTM selama 17 tahun memenangi pelbagai anugerah seperti Anugerah Merak Kayangan (Lagu Terbaik) bagi lagu ciptaan pertamanya Bintang Malam pada 1980.
Tahun lepas allahyarham dikurniakan gelaran Tan Sri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: