Dua wakil dari syarikat The Swatch Group (Malaysia) Sdn. Bhd selepas hadir keputusan semakan terhadap kerajaan bagi mencabar tindakan merampas 172 jam tangan siri 'Pride Collection' dikaitkan dengan LGBT di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 25 NOVEMBER 2024.

 

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan 172 jam tangan Koleksi Pride yang dirampas kerajaan selepas dikaitkan dengan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tahun lalu, dikembalikan kepada The Swatch Group (Malaysia) Sdn. Bhd.

Hakim Datuk Amarjeet Singh mengarahkan kesemua jam tangan yang dirampas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Mei 2023, dipulangkan kepada syarikat berkenaan dalam tempoh 14 hari.

Beliau turut membatalkan notis penyitaan terhadap The Swatch Group (Malaysia) setelah membenarkan perintah certiorari yang dipohon oleh syarikat pengimport dan penjual jam tangan itu.

Hakim Amarjeet memutuskan demikian selepas membenarkan semakan kehakiman syarikat itu. Mahkamah tidak membuat sebarang perintah terhadap kos.

“Kesemua 172 jam tangan itu dikembalikan kepada pemohon dalam tempoh 14 hari bermula hari ini. Sekiranya terdapat kerosakan pada jam tangan berkenaan, pemohon boleh menuntut ganti rugi,” ujar beliau.

Pada 10 Ogos 2023, kerajaan mewartakan pengharaman mana-mana jam tangan Swatch atau bahan berkaitan – termasuk kotak – yang mengandungi pengaruh LGBT di bawah Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.

Ketika membacakan keputusannya, Hakim Amarjeet berkata, rampasan yang dilakukan pada 13 dan 14 Mei 2023, menyalahi undang-undang kerana dilakukan tanpa waran.

Bagaimanapun, beliau berpendapat, jam tangan yang dirampas itu merupakan satu `penerbitan’ seperti yang ditakrifkan di bawah Seksyen 7 Akta Mesin Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.

Sehubungan itu, mahkamah menolak permohonan syarikat itu agar jam tangan berkenaan diisytiharkan bukan sebuah ‘penerbitan’ di bawah akta berkenaan.

Pada prosiding itu, peguam Nizam Bashir mewakili syarikat tersebut manakala pihak kerajaan diwakili oleh Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md. Ali mewakili responden-responden.

Pada 24 Jun 2023, syarikat itu memfailkan semakan kehakiman atas alasan rampasan 172 jam tangan itu tidak sah kerana barangan itu bukan sebuah ‘penerbitan’ yang boleh dilarang di bawah akta berkenaan.

Pemohon menamakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan KDN, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai responden pertama hingga keempat.

Menerusi permohonan itu, syarikat berkenaan menyatakan, istilah penerbitan merujuk kepada dokumen, surat khabar, buku atau sebarang bahan dalam bentuk bercetak berdasarkan akta itu.

Kata pemohon, jam tangan itu tidak mempromosikan apa-apa gejala seksual, sebaliknya merupakan ekspresi menyeronokkan mengenai keamanan dan cinta.

KDN menyerbu 11 butik jam tangan jenama Swatch di beberapa negeri dan merampas 172 jam jam tangan Koleksi Pride mengandungi sembilan reka bentuk bertemakan pelangi yang sering dikaitkan dengan komuniti LGBT.

Serbuan selama dua hari diadakan di butik Swatch yang terletak di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur, One Utama, Sunway Pyramid, Setia City Mall, Mid Valley Megamall, Southkey, Sunway Putra Mall, Sogo KL, Queensbay, Fahrenheit 88 dan Suria Sabah.

Lima lagi butik diberi amaran iaitu di Kuala Terengganu City Centre, AEON Kota Bharu, Aman Central Kedah, City Square dan Viva City Kuching. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here