KUALA LUMPUR – Kepakaran dan inovasi yang dimiliki Bin Zayed International dalam bidang hartanah, teknologi dan kesihatan diyakini mampu menggalakkan pemindahan teknologi, pembangunan mampan dan memperkasa industri tempatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama dua hala itu diharapkan dapat mencipta peluang ekonomi yang lebih luas untuk rakyat Malaysia.

“Inilah langkah ke hadapan yang membuktikan bahawa Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelabur antarabangsa.

“Saya komited untuk memastikan setiap peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya demi kebaikan rakyat dan negara kita, Insya-Allah,” katanya dalam hantaran terbaru di akaun Facebook rasminya, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan Pengasas dan Pengerusi Bin Zayed, Sheikh Khaled Zayed Saquer Zayed Al Nahyan di sini, semalam.

Menurut Ahmad Zahid, pertemuan itu dijangka membuka lembaran baharu dalam hubungan strategik antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Kerjasama dan pelaburan Bin Zayed ini dijangka dapat menyokong Malaysia dalam menjadi hab perniagaan utama di Asia Tenggara.

“Sepanjang perbincangan, saya turut berkongsi pengalaman semasa kunjungan saya ke UAE baru-baru ini dan meneliti peluang pelaburan yang mampu memberi manfaat bersama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here