PUTRAJAYA – Kerajaan sedang mempertimbangkan peningkatan dari Gred 54 kepada Jusa B untuk jawatan Ketua Pengarah Imigresen sebagai usaha menambahbaik skim perkhidmatan agensi itu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penambahbaikan itu akan disusuli dengan gred lain seperti Jusa C serta perluasan jawatan strategik lain membabitkan pengarah negeri, pengarah bahagian dan atase Imigresen.
Katanya, ia turut membabitkan permohonan perjawatan baharu terdiri daripada pelbagai gred dan skim bagi memenuhi keperluan di kaunter perkhidmatan, pintu masuk dan lain-lain tempat selain.
“KDN prihatin akan perkembangan pembangunan kerjaya untuk skim Perkhidmatan Imigresen.
“Beberapa siri perbincangan sudah diadakan dengan pihak kementerian dan (Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membincangkan berkaitan ruang kerjaya lebih baik buat skim ini,” katanya.
Penambahbaikan itu juga membabitkan peningkatan gred penyeliaan dari KP22 kepada KP26 dancKP28 selaras dengan teguran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu penyeliaan.
Saifuddin berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Perhimpunan Bulanan KDN yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah di sini hari ini.
Menurut Saifuddin, pihaknya turut bercadang mewujudkan Skim Bersepadu Imigresen dengan menggabungkan Skim Perkhidmatan Imigresen dan Skim Bersepadu Penolong Penguasa Imigresen/Penguasa Imigresen.
Jelasnya, cadangan penambahbaikan itu adalah selaras dengan saranan oleh SPRM bagi mengatasi masalah integriti dan meningkatkan penyeliaan.
“Apabila ada ruang kerjaya lebih baik, motivasi diri akan meningkat dan secara tidak langsung mewujudkan keadaan keseronokan dalam bekerja sekaligus akan memberi khidmat terbaik,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan akan menyediakan ruang kerjaya lebih baik dalam tempoh terdekat kepada kakitangan Jabatan Imigresen sejajar dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dilapor berkata, inisiatif itu adalah hasil turun padang beliau bertemu anggota dan pegawai jabatan berkenaan baru-baru ini. – MalaysiaGazette
Saifuddin Nasution Ismail, Imigresen, ketua pengarah