Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Arshad Hassni

KUALA LUMPUR – Kesepakatan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) merupakan asas kepada kejayaan Kerajaan Perpaduan yang sedang dibina bersama pada hari ini.

Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Arshad Hassni berkata, fokus utama seharusnya tertumpu kepada mengukuhkan gabungan ini dan memastikan ia kekal utuh demi kepentingan rakyat menjelang pilihan raya akan datang.

“Adalah penting untuk setiap parti dalam gabungan ini mengutamakan kebajikan rakyat, dengan memberikan tumpuan kepada isu-isu utama seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kestabilan ekonomi.

“PH dan BN bersama-sama harus menunjukkan kepada rakyat bahawa Kerajaan Perpaduan mampu membawa perubahan positif dan memperbaiki keadaan negara.

“Kesepakatan dan kerjasama strategik adalah kunci kejayaan gabungan ini, bukan sahaja dalam pilihan raya, tetapi juga dalam memastikan Malaysia terus bergerak maju,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan itu akan mengetengahkan ramai calon muka baharu, terutama dalam kalangan anak muda pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, usaha itu menjadi satu dari lima langkah yang digariskan dalam memperkukuh parti-parti komponen BN bagi meraih sokongan rakyat.

Dalam pada itu, Arshad yang juga Ketua AMK Segambut menggesa PH dan BN melakukan pembahagian kerusi dengan strategi yang berhemah, mengambil kira kekuatan dan pengaruh masing-masing di kawasan tertentu.

“UMNO dan BN misalnya, memiliki peranan penting untuk terus memperkukuhkan sokongan di kawasan majoriti Melayu, sebagaimana dibuktikan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan DUN Mahkota.

“Sementara itu, PH komited memastikan kemenangan di Wilayah Persekutuan dan kawasan lain di mana sokongan pengundi kepada PH masih kukuh.

Katanya, perebutan kerusi dan masalah dalaman hanya akan memberi kesan negatif kepada kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.

“Dalam perbincangan soal kerusi, keutamaan adalah memastikan rakyat terus mendapat manfaat daripada pentadbiran yang stabil dan cekap.

“Gabungan ini juga perlu terus memperkukuhkan sokongan akar umbi, terutamanya di kalangan pengundi muda yang merupakan elemen penting dalam menentukan keputusan PRU16,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here