Mohamed Sukri Omar

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Selangor meluahkan rasa kesal dengan kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang tidak bersetuju dengan langkah penguatkuasaan papan tanda dwibahasa oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, pendekatan itu menunjukkan sikap yang tidak menghargai kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

“Bahasa Melayu adalah simbol identiti negara dan tunjang perpaduan rakyat Malaysia. Tindakan memastikan penggunaan Bahasa Melayu pada papan tanda khususnya dalam sektor awam, adalah langkah wajar yang selaras dengan aspirasi memartabatkan bahasa kebangsaan,” ujarnya dalam kenyataan semalam.

Sebagai seorang menteri, menurutnya, Datuk Seri Tiong King Sing sepatutnya menyokong usaha yang bertujuan memelihara warisan kebangsaan dan memastikan pelancong asing menghormati budaya serta bahasa tempatan.

“Pandangan yang meremehkan penguatkuasaan ini dilihat seolah-olah mengabaikan peranan Bahasa Melayu dalam membentuk jatidiri negara,” katanya.

Pemuda Pas Selangor menegaskan, penggunaan dwibahasa dengan keutamaan diberikan kepada Bahasa Melayu bukan satu bentuk diskriminasi tetapi usaha untuk memperkukuhkan kedudukan bahasa kebangsaan di tanah air sendiri.

Pelancong asing boleh dibantu dengan terjemahan tetapi asas kepada pembangunan negara tetap bermula dengan menghormati bahasa kita, kata Mohamed Sukri.

Oleh itu, beliau mendesak Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya untuk segera menarik balik kenyataan tersebut dan memberikan sokongan penuh kepada mana-mana dasar yang memperkukuhkan martabat Bahasa Melayu.

“Jika tidak, beliau dilihat gagal memahami sensitiviti rakyat dan nilai kenegaraan yang menjadi asas kepada Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here