KUALA LUMPUR – Pas mendakwa Kerajaan Perpaduan yang ditunjangi Pakatan Harapan (PH) masih gagal menangani rasuah dan komitmennya untuk melakukan reformasi institusi hanya laungan semata-mata.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kerajaan didakwa menangani rasuah tidak holistik memeranginya kerana tidak bersifat menyeluruh daripada akar umbi dan hanya terhadap penerima rasuah terpilih sahaja.
“Mereka membebaskan pemberi rasuah yang memberikan kerjasama dan para brokernya yang berkeliaran tetapi bertindak terhadap segelintir penerima rasuah.
“Tindakan itu laksana menghapuskan penyakit wabak denggi dengan bertindak terhadap mangsa jangkitan, namun membiarkan nyamuk Aedes membiak dan membiar kalangan pengotor menjadi angkara tempat pembiakan nyamuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Hadi berkata, rasuah merupakan salah satu penyakit jahiliah sepanjang zaman bukan Malaysia sahaja satu-satunya Kerajaan Madani kerana madani ialah tabii manusia mengikut fitrahnya.
“Lebih diragukan, parti dan kerajaan yang dalamannya berpenyakit rasuah dalam semua lapisan pemilihannya, sehingga usaha mendapat kuasa juga membawa penyakit ini dalam semua lapisan sehingga rakyat.
“Hal ini laksana menugaskan pencuri menangkap pencuri yang diberikan lesen dan mendapat bantuan pencuri yang lain pula.
“Para agamawan membiarkan kemungkaran mereka dilakukan, gaya hidup para agamawan, semuanya berkonsepkan harta,” katanya.
Menurut Abdul Hadi, Allah mendedahkan mereka yang berpenyakit politik harta apabila memilih raja dan pemimpin bahkan para ulamak juga berpenyakit rasuah.
“Mereka bertuhankan harta, termasuk para agamawan, sehingga melampau melakukan yang haram kerana memahukan apa-apa sahaja harta, seperti riba, rasuah, menipu, salah guna kuasa dan lain-lain.
“Islam menetapkan bahawa rasuah adalah dosa besar yang diharamkan, termasuk dalam takrif rasuah adalah jenayah dan dosa besar.
Katanya, syariat Allah meletakkan semua yang berkaitan pelaku kesalahannya berada di bawah hukuman-Nya tanpa terpilih kerana hubungan keluarga, pangkat mahupun taraf kedudukannya.
“Syariat berkonsepkan holistik terhadap kesemua mereka yang berkaitan dengan kesalahan daripada pemberi, penerima, sehingga perantaranya.
“Tiada sesiapa boleh dikecualikan daripada hukuman dan dosa, kerana konsep semua orang ialah hamba kepada Allah sehingga tiada sesiapa mengatasi undang-undang Allah.
“Ada pun undang-undang ciptaan manusia, tiada roh dosa pahala dan tanpa wawasan pada Hari Akhirat dan merasakan dirinya selamat kalau terlepas daripada tindakan undang-undang.
“Ramai dalam kalangan yang merasa diri mereka berkuasa, menyalahgunakan kuasa terhadap diri mereka atau terpilih dalam kalangan mereka,” katanya.
Abdul Hadi turut memberi gambaran Pas berusaha untuk melaksanakan undang-undang Islam di empat negeri di bawah pentadbirannya walaupun banyak rintangan.
“Pas tetap memperkenalkan konsep pemerintahan Islam di mana-mana negeri yang diperintah walaupun banyak halangan dilakukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette