Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau menggunakan dana daripada syarikat swasta dalam empat lawatan kerja rasminya ke luar negara sebelum ini.

Sebaliknya, jelas Perdana Menteri, kos RM1.6 juta yang dibelanjakan bagi lawatan rasmi itu adalah wang kerajaan sepenuhnya dengan penerbangan pula menggunakan syarikat Malaysia Airlines (MAS).

Tambah beliau, baki tempat duduk dalam lawatan kerja rasmi itu ditawarkan kepada kepada syarikat swasta yang turut serta bagi tujuan pelaburan atau usaha sama.

Ujarnya, syarikat swasta terbabit membayar kos masing-masing berjumlah RM4.5 juta.

“Jika guna jet Eksekutif Kerajaan, kos perlu ditanggung Kerajaan adalah RM2.5 juta untuk empat negara. Namun dengan perkongsian ini, kos untuk Kerajaan hanya RM1.6 juta.

“Saya ulang, Kerajaan tidak guna dana syarikat swasta. Tiada perselisihan kepentingan. Usah terperangkap dalam fitnah zaman edan,” kataya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Dalam sidang Dewan Rakyat minggu lalu, Anwar berkata, kira-kira 70 hingga 80 peratus kos perjalanan dan lawatan rasminya ke lima negara ditanggung oleh syarikat swasta yang mengikuti rombongan itu.

Anwar menjelaskan, pendekatan di bawah pentadbirannya itu untuk memastikan perbelanjaan membiayai lawatan rasmi ke luar negara diuruskan secekap mungkin.

Bagaimanapun, kenyataan Anwar itu mencetuskan polemik apabila beberapa pihak mendakwa ia boleh menyebabkan kerajaan menerima tekanan daripada syarikat swasta terbabit yang akan memohon balasan.

Antara yang mempersoalkannya ialah Ketua Pegawai Eksekutif C4 Center, Pushpan Murugiah yang berkata, walaupun pertimbangan kewangan mungkin menjadi faktor utama keputusan itu, namun kerajaan juga seharusnya mengambil kira kemungkinan terjadinya perselisihan antara kepentingan kerajaan dan swasta. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here