Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Kluang-Nyior, Kluang malam tadi.

KLUANG – Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar tiang lampu di Kilometer 2.8 Jalan Kluang-Nyior, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian menimpa remaja lelaki itu, Yap Yu Hern, 18, iaitu seorang Mekanik berlaku pada pukul 7.20 malam.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Nyior menuju ke bandar Kluang dengan menunggang motosikal berseorangan.

“Motosikal jenis Yamaha jenis Y15ZR itu difahamkan milik pelanggan di kedainya.

“Sebaik sampai di lokasi kemalangan, mangsa dikatakan hilang kawalan dan seterusnya melanggar tiang lampu jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, disebabkan kejadian itu, mangsa cedera parah di bahagian badan serta kepala dan dikejarkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini untuk mendapatkan rawatan.

Namun ujarnya, pihak hospital terbabit mengesahkan mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan pada pukul 9 malam tadi.

Tambahnya, proses bedah siasat akan dilakukan pagi ini bagi mengenal pasti punca kematian, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu boleh menyalurkannya kepada mana-mana balai polis berdekatan atau datang terus ke Bahagian Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here