KLIA – Kerajaan akan memindahkan operasi kargo di wilayah utara Semenanjung iaitu dari Padang Besar ke pelabuhan baharu – Perlis Inland Port (PIP) di Chuping pada bulai Julai tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kementerian itu akan mengambil inisiatif untuk memaklumkan kepada Kabinet untuk mendapatkan kerjasama daripada semua agensi yang terlibat untuk memudahkan pemindahan operasi kargo itu.
“Pada masa sekarang, setiap kargo yang merentasi sempadan negara melalui utara Semenanjung perlu melalui segala proses dokumentasi dan pelepasan di Padang Besar.
“Kita mengendalikan banyak kargo dari selatan Thailand ke dalam negara kita menggunakan pelabuhan kita sama ada di Pulau Pinang atau Klang.
“Jadi mereka perlu melepasi Padang Besar dan kadang kala semua kargo yang disaring dan dilepaskan itu diletakkan di dermaga di Padang Besar yang mana dari segi keluasan tapak simpanan kargo itu memang kecil dan tidak mampu untuk mengendalikan kargo dalam jumlah besar,” katanya dalam sidang media di KLIA hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan bilangan 2 2024 di sini hari ini.
Tambah beliau, usaha melaksanakan pembangunan projek PIP ini dijalankan selama beberapa tahun lalu oleh NCIA dan wujudnya satu kawasan baharu dinamakan Perlis Inland Port.
Katanya, projek pembangunan PIP sedang berjalan lancar dan dijangka mula beroperasi sepenuhnya seawal Julai 2025.
Bagi memudahkan proses pemindahan operasi kargo itu dari Padang Besar ke PIP, kita akan kemukakan kertas kepada Jemaah Menteri dalam tempoh satu atau dua bulan lagi untuk mendapat kelulusan.
“Lazimnya untuk proses kelulusan, kementerian perlu draf kertas kerja yang akan mengambil masa satu hingga dua bulan.. paling cepat dalam masa satu bulan sebelum dirujuk Kabinet bagi kelulusan.
“Walaupun kebanyakan agensi sedia maklum projek PIP ini tetapi kita memerlukan kelulusan ini kerana proses pemindahan operasi kargo sangat rumit, melibatkan pelbagai agensi.
“Selain itu, sistem kargo itu perlu diintegrasikan terlebih dahulu membabitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan IMigresen Malaysia (JIM), MAQIS dan agensi-agensi lain yang mengawal sempadan,” tambahnya.
Anthony berkata, projek ini akan merangsang ekonomi di kawasan Wilayah Utara Semenanjung apabila ia beropersi kelak.
“Kementerian secara prinsipnya bersetuju serta menyokong usaha murni ini memandangkan ia akan membuka potensi pengendalian kargo dalam skop lebih besar dan banyak antara Thailand dan Malaysia pada masa depan.
“Meskipun Perlis tidak berada dalam naungan kerajaan Perpaduan usaha pembangunan itu diteruskan di semua negeri dan wilayah dalam negara ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette