Ahmad Fadhli Shaari.-Foto MOHD ADZLAN, 10 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan pendedahan Presiden UMNO, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi kononnya beliau ditawarkan jawatan Perdana Menteri sekiranya meninggalkan kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan sebagai bukan sesuatu yang pelik.

Malah, Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari secara sinikal berkata, Ahmad Zahid sememangnya layak untuk memegang jawatan Perdana Menteri menerusi kerjasama politik baharu yang mahu dibentuk itu.

Ini kerana, ujar beliau, Ahmad Zahid kini disifatkan sudah suci umpama air mutlak selepas tidak ada lagi kes-kes mahkamah yang boleh menghalang beliau daripada dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Tiada lagi yang menghalang. Kes-kes mahkamah sudah digugurkan oleh Peguam Negara. Cumanya dengan status DNAA ia boleh dibuka semula jijka ada arahan dan keputusan baru.

“Jika Datuk Seri Zahid dilantik sebagai Perdana Menteri, tidak mustahil ia boleh bertukar kepada DNA – dibebaskan sepenuhnya tanpa ada bantahan pun daripada Pakatan Harapan kerana mereka telah lakukannya dari awal,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau, hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid mendedahkan, terdapat usaha untuk memujuk supaya BN keluar daripada Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu.

Pengerusi BN itu mendakwa, sebagai balasan, parti itu turut ditawarkan jawatan Perdana Menteri jika bersetuju dengan perancangan tersebut.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid menolak tawaran itu kerana tidak sanggup mengkhianati rakan dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Sementara itu, Ahmad Fadhli menambah, beliau menerima banyak pertanyaan berkenaan pendedahan Ahmad Zahid tersebut, namun mengakui tidak pernah mengetahui mengenainya.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan mengapa Ahmad Zahid tidak mendedahkan nama pihak yang cuba membuat rundingan tersebut, sekali gus mencetuskan tanda tanya sama ada ia benar-benar berlaku atau sebaliknya.

“Kenapa beliau tidak dedahkan sahaja nama individu yang berunding itu pun tidak diketahui, biasanya jika ada maklumat yang disimpan ertinya boleh jadi rundingan masih berjalan.

“Atau boleh jadi cerita ini tidak benar, tapi mustahil Timbalan Perdana Menteri kita nak mereka-reka cerita,” katanya.

Dalam masa sama, beliau beranggapan Ahmad Zahid dengan tangan terbuka boleh menerima tawaran meninggalkan Kerajaan Perpaduan itu dan menjadi Perdana Menteri.

“Dalam pada media bicarakan siapakah calon Perdana Menteri dari Perikatan Nasional sekarang, apa salahnya Datuk Seri Zahid juga menjadi salah seorang calon Perdana Menteri?” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here