KUALA LUMPUR – Pas menyokong penuh tindakan tegas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menguatkuasaan undang-undang berkait penggunaan Bahasa Melayu pada papan iklan premis perniagaan di ibu kota.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuiddin Hassan berkata, sebagai tanggungjawab patriotik rakyat Malaysia, Bahasa Melayu mestilah didaulatkan dan diberi keutamaan oleh semua pihak dalam apa juga keadaan.
“Pas percaya ketegasan yang sama harus dijadikan teladan oleh bukan sahaja pihak berkuasa tempatan di seluruh negara, tetapi juga oleh semua pihak lain, termasuk individu.
“Bahasa sebagai simbol utama budaya, warisan dan pandangan hidup bersama menjadi lebih penting kepada jati diri Malaysia yang berbilang kaum dan kepercayaan, terutama kini susulan bercambahnya pelbagai aliran kepentingan dan pemikiran yang cenderung ke arah penyepaian negara, bukan kesatuannya,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Takiyuddin, sikap cuai dan sambil lewa berhubung penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi rasmi pertama dalam kalangan rakyat tidak boleh diterima sama sekali.
Ini kerana ia jelas berlawanan dengan identiti Malaysia, selain mengkhianati usaha serta aspirasi perpaduan dan jati diri kebangsaan, ujarnya.
“Bagi Pas pertimbangan-pertimbangan berkait penggunaan rasmi bahasa lain selain Bahasa Melayu, sama ada untuk tujuan ekonomi, sosial, pelancongan, diplomasi dan sebagainya, hanya boleh diterima sekiranya ia tidak mengetepikan atau menjejaskan
kedudukan dan keutamaan bahasa kebangsaan itu,” tambahnya.
Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama adalah bertepatan dengan dasar dan cita-cita negara seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Dasar Bahasa Kebangsaan yang terlaksana lebih 50 tahun lalu.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan semua iklan hendaklah dalam bahasa kebangsaan dan boleh juga dalam apa-apa bahasa lain selaras dengan Undang – Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982, Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Bagaimanapun, huruf-huruf bagi perkataan-perkataan dalam bahasa kebangsaan hendaklah diberi keutamaan dan hendaklah dari saiz yang lebih besar daripada tulisan perkataan dalam bahasa lain.
Ketegasan itu dibuat selepas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing mendakwa penguatkuasaan peraturan papan tanda dwibahasa oleh DBKL mencetuskan tindak balas melampaui batas, menimbulkan rasa tidak puas hati serta mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan pelancong.
Kata King Siong, tindakan itu menyebabkan pelancong mempersoalkan keterbukaan dan keterangkuman Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum. – MalaysiaGazette