Pengarah, Tourism Malaysia Wilayah Tengah, Supian Zainuddin dan DX Fishing Tackle, Dixon Wong bersama para pemenang Cabaran Memancing Kuala Lumpur 2024.

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar tingkatan satu dinobatkan sebagai juara Cabaran Memancing Kuala Lumpur 2024 yang diadakan di Taman Tasik Permaisuri di sini semalam.

Deimas Ardaan Shah, 13, dari Kuala Lumpur membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000 selepas berjaya menaikkan seekor ikan patin seberat 16.725 kilogram (kg) kira-kira pukul 12.03 tengahari.

Dia menyifatkan tuah buatnya menggunakan roti berperisa pandan sebelum disambar patin yang memaksanya mengambil masa lebih lapan minit bagi menaikkan ikan tersebut.

Katanya, dia selalu mengikuti pertandingan memancing di tasik tasik ibukota sejak dahulu lagi.

Jelasnya, dia tidak pernah patah semangat walaupun acap kali kecundang namun kali ini rezeki berpihak kepadanya.

“Ini sudah rezeki saya dan wang kemenangan ini akan digunakan untuk membeli peralatan kelengkapan sekolah dan berkongsi dengan ayahnya yang sama-sama menyertai pertandingan memancing itu,” ujarnya.

Suasana peserta semasa Pertandingan Cabaran Memancing Kuala Lumpur semalam.

Tempat kedua disandang oleh Muhammad Imaduddih Izzul Islam, yang membawa pulang RM2,000 dan Nor Akmal Hakim Mohd Tajuddin (RM1,000) selepas masing-masing menaikkan patin seberat 15.235 kg dan 14.960 kg.

Hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Tengah, Supian Zainuddin dan wakil DX Fishing Tackle, Dixon Wong.

Dalam pada itu, Supian berkata, Cabaran Memancing Kuala Lumpur diadakan bagi memberi manfaat kepada masyarakat melalui pertandingan memancing.

“Objektif utama menganjurkan pertandingan itu bagi menyokong usaha kerajaan mempromosi pelancongan dalam negara menerusi tema Cuti-Cuti Malaysia yang didukung oleh Tourism Malaysia,” katanya.

Cabaran Memancing Kuala Lumpur 2024 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM20,000 kepada pemancing yang berjaya mendaratkan ikan.

Pertandingan anjuran Airfour Classic dan DBKL dengam kerjasama turut mendapat sokongan dari Tourism Malaysia selain dapat membantu MOTAC dan Tourism Malaysia dalam persediaan menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pertandingan itu menyaksikan sebanyak hampir 500 ekor ikan pelbagai spesies berjaya dinaikkan oleh peserta.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast