KUALA LUMPUR – Penolakan Pas terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri hanya menyerlahkan defisit kepercayaan antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) dalam mengemudi gabungan politik itu.
Timbalan Ketua Penerangan Keadilan, Chua Wei Kiat berkata, pergolakan dalaman parti pembangkang semakin ketara antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berebut mendakwa masing-masing lebih layak memimpin PN.
“Kenyataan ini tidak hanya melemahkan kepimpinan Muhyiddin bahkan mendedahkan ketiadaan kepercayaan di antara parti-parti komponen dalam PN.
“Tindakan ini menimbulkan persoalan, siapakah calon Perdana Menteri yang dicadangkan oleh Pas? Jika Pas menolak Muhyiddin, adakah mereka mempunyai calon alternatif berwibawa dan layak untuk mentadbir negara?
“Atau adakah kenyataan ini hanya membuktikan bahawa PN sebenarnya tidak mempunyai sesiapa yang berkaliber untuk diangkat sebagai pemimpin negara?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Jumaat lalu, media melaporkan Hashim dalam satu kenyataan menegaskan, parti itu lebih layak memimpin PN, sekali gus menolak cadangan supaya Muhyiddin kekal sebagai calon Perdana Menteri gabungan itu.
Bekas Pesuruhjaya Pas Perlis itu juga dilaporkan berkata, ia kerana wakilnya paling ramai di Dewan Rakyat dalam PN yang diterajui Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU dan mempunyai jentera akar umbi kuat di seluruh negara.
Tegasnya lagi, meskipun pemimpin Pas hanya timbalan dalam PN namun rekodnya di Parlimen dilihat lebih ke hadapan selain kerja-kerja masyarakat dan dalam apa juga yang berlaku.
Wei Kiat selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang berkata, lebih bermasalah apabila wujud dakwaan PN cuba menarik Barisan Nasional (BN) keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan menawarkan jawatan Perdana Menteri.
“Taktik sebegini menunjukkan PN tidak mampu melahirkan pemimpin dalam kalangan mereka sendiri. Ini adalah bukti jelas PN kini berada dalam keadaan terdesak.
“Ketidakmampuan PN untuk menyelesaikan isu dalaman mereka menimbulkan persoalan besar tentang keupayaan mereka untuk mentadbir negara.
“Jika mereka tidak dapat menyatukan parti-parti komponen sendiri, bagaimana mereka boleh diharapkan untuk memimpin negara dengan stabil dan berkesan?” soalnya.
Sebaliknya Kerajaan Perpaduan terus menunjukkan komitmen untuk membangunkan negara dan memperjuangkan kebajikan rakyat.
“Di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita melihat pelbagai dasar progresif dirangka untuk merancakkan ekonomi, meningkatkan kebajikan sosial serta membina masa depan mampan untuk semua rakyat Malaysia.
“Saya menyeru rakyat Malaysia untuk menilai kepimpinan PN secara kritikal. Perpecahan PN membuktikan mereka tidak mampu menawarkan kestabilan mahupun hala tuju yang jelas untuk negara.
“Rakyat tidak boleh terperangkap dalam permainan politik yang hanya mementingkan perebutan kuasa tanpa memikirkan masa depan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette