KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mengesyorkan kerajaan memperkenalkan satu kerangka polisi yang jelas dan tegas berhubung penglibatan pihak swasta dalam lawatan rasmi pemimpin ke luar negara.
Dalam satu kenyataan hari ini, MCW berkata, ia bagi memastikan tiada unsur persepsi tidak wajar timbul yang mana syarikat swasta dilihat menerima keistimewaan tertentu kerana penglibatan mereka dalam lawatan rasmi.
Selain itu, ujarnya, kerajaan juga perlu memastikan tiada syarikat yang mempunyai rekod konflik kepentingan atau sedang berurusan dengan kerajaan diberikan peluang turut serta dalam lawatan rasmi ke luar negara.
“Kerajaan juga perlu menetapkan garis panduan tentang bagaimana syarikat dipilih untuk menyertai delegasi rasmi selain menyediakan laporan penuh selepas lawatan merangkumi sumbangan atau manfaat ekonomi yang diperoleh,” demikian menurut kenyataan itu.
Awal hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau menggunakan dana daripada syarikat swasta dalam empat lawatan kerja rasminya ke luar negara sebelum ini.
Sebaliknya, jelas Anwar, kos RM1.6 juta yang dibelanjakan bagi lawatan rasmi itu adalah wang kerajaan sepenuhnya dengan penerbangan pula menggunakan syarikat Malaysia Airlines (MAS).
Tambah Perdana Menteri, baki tempat duduk dalam lawatan kerja rasmi itu ditawarkan kepada kepada syarikat swasta yang turut serta bagi tujuan pelaburan atau usaha sama.
Penjelasan itu dibuat susulan beberapa pihak sebelum ini mempersoalkan kenyataan Anwar di Parlimen minggu lalu, yang menyebut kira-kira 70 hingga 80 peratus kos perjalanan dan lawatan rasminya ke lima negara ditanggung oleh syarikat swasta yang mengikuti rombongan itu.
Menurut Anwar, pendekatan di bawah pentadbirannya itu untuk memastikan perbelanjaan membiayai lawatan rasmi ke luar negara diuruskan secekap mungkin.
Sementara itu, MCW berkata, pihaknya menghargai usaha Perdana Menteri untuk mengurangkan kos kerajaan dalam lawatan rasmi ke luar negara dan memastikan pengurusan kewangan awam yang lebih efisien.
Namun, tegasnya, langkah itu memerlukan pemantauan yang berterusan dan kerangka polisi yang kukuh untuk memastikan integriti kerajaan tidak pernah dikompromi.
“MCW akan terus memantau isu ini dan menggesa semua pihak untuk mengekalkan prinsip tadbir urus yang baik demi kepentingan negara,” katanya. – MalaysiaGazette