KUALA LUMPUR – Terdapat pihak yang iri hati dengan kejayaan misi luar negara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menarik pelaburan ke Malaysia.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, pihak terbabit mendakwa kononnya lawatan yang dibuat Anwar tidak membawa manfaat nyata kepada rakyat dan negara.
Ahmad Farhan berkata, secara fakta pelbagai pencapaian penting telah diperoleh Perdana Menteri termasuk memacu ekonomi negara, memperkukuh hubungan antarabangsa dan meningkatkan reputasi Malaysia di peringkat global.
“Lawatan ini menunjukkan impak nyata, termasuk pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan, pengukuhan perdagangan, dan pengiktirafan global terhadap Malaysia.
“Ia juga petunjuk jelas Perdana Menteri bukan sekadar figura simbolik, sebaliknya pemimpin yang memacu negara menuju kemajuan di bawah agenda MADANI.
“Justeru, sebarang tuduhan yang bertentangan serta cubaan memutarbelitkan kejayaan lawatan ini adalah tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, lawatan Perdana Menteri ke Mesir katanya, menyaksikan perdagangan dua hala meningkat 21.4% atau RM3 bilion.
Pelancaran kilang pemasangan Proton di Giza pula dijangka menjana pendapatan RM570 juta dalam tiga tahun, di samping tambahan pendapatan sebanyak RM20juta melalui jualan alat ganti bagi menyokong perkhidmatan.
Lawatan itu juga membina kerjasama pendidikan antara Universiti Al-Azhar, Universiti Sains Islam Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi.
Di Peru lawatan rasmi Anwar telah membantu meneroka ekosistem halal di Amerika Latin melalui perjanjian persefahaman (MoU) antara Halal Development Corporation (HDC) dan Suruhanjaya Penggalakkan Eksport dan Pelancongan Peru (PROMPERU).
Kolaborasi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Inovasi Pertanian Negara Peru memperkukuh sektor pertanian, dengan perdagangan meningkat 49.1% (RM1.58 bilion).
Lawatan ke Brazil membantu pelaburan luar pesisir Petronas bernilai AS$6 bilion serta projek kemudahan penyimpanan dan pemindahan pengeluaran terapung (FPSO) oleh Yinson Holding bernilai AS$5 bilion serta eksplorasi tenaga solar oleh Tenaga Nasional Berhad.
Katanya, semasa Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Peru dengan syarikat gergasi Microsoft dan Google mengiktiraf dasar kecerdasan buatan (AI) Malaysia sebagai komprehensif, dengan pelaburan pusat data yang bernilai AS$2 bilion.
Perdana Menteri juga, katanya, tegas mempertahankan hak Palestin di Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab dan Islam di Riyadh serta menyeru sekatan senjata terhadap Israel.
Anwar turut menuntut reformasi peranan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang seharusnya bersifat lebih inklusif buat negara anggota lain serta menyingkirkan rejim zionis Israel daripada PBB. – MalaysiaGazette