KUALA LUMPUR – Ketiadaan papan tanda dalam bahasa Mandarin bukan penyebab pelancong tidak datang ke Malaysia, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Maszlee Malik.
Sebaliknya, kata bekas Menteri Pendidikan berkenaan, pelancong tidak memilih Malaysia sebagai lokasi pelancongan kerana usaha mempromosi negara yang tidak rancak.
Selain itu, ujarnya, produk pelancongan negara juga tidak semeriah negara-negara lain selain fasiliti pelancongan Malaysia yang tidak bersepadu.
Dalam masa sama, tambah beliau, ketiadaan aplikasi buatan Malaysia yang boleh membantu pelancong asing mendapatkan informasi, memudahkan perjalanan dan urusan pembayaran turut menjadi faktor negara ini tidak menjadi pilihan.
“BUKAN kerana tiada papan tanda bertulisan Mandarin ya.
“Harap YBM dapat kemukakan Kad Laporan pencapaian beliau sempena 2 tahun menjadi Menteri Kerajaan Perpadua Biarkan rakyat menilai,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Semalam, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, tindakan penguatkuasaan mengenai peraturan papan tanda dwibahasa oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengakibatkan tindak balas emosi dan melampaui batas sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati serta wujud persepsi negatif dalam kalangan pelancong.
Tambah King Sing, tindakan itu menyebabkan pelancong mempersoalkan keterbukaan dan keterangkuman Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.
Terdahulu, media melaporkan DBKL minggu lalu, melancarkan operasi berskala besar menyasarkan papan tanda yang tidak memaparkan bahasa Melayu di beberapa kawasan, termasuk Segambut, Pudu, dan Jalan Silang di Kuala Lumpur.
Operasi itu membabitkan pasukan penguatkuasaan dan pelesenan DBKL, bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta pihak polis. – MalaysiaGazette