Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan.

KUALA LUMPUR – Pemimpin kerajaan khususnya ahli Parlimen seharusnya senada dengan aspirasi nasional untuk menobatkan bahasa kebangsaan pada kedudukannya yang hak di negara sendiri.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang juga Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan menegaskan, ia bagi memastikan Malaysia mempunyai imej atau citra tersendiri di persada dunia.

Sehubungan itu, ujar beliau, polemik mengenai penguatkuasaan papan tanda dwibahasa oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak sepatutnya timbul kerana ia jelas membelakangkan dan mengabaikan bahasa kebangsaan.

Dalam masa sama, kata beliau, tindakan DBKL tidak wajar dianggap keterlaluan atau menjurus kepada perkauman memandangkan ia merupakan proses biasa dalam menegakkan undang-undang sedia ada.

“Kita berharap semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini mengambil tindakan serupa seperti DBKL supaya bahasa kebangsaan lebih diutamakan dalam iklan, nama perniagaan dan sebagainya.

“Kita ingin melihat negara kita ada imej atau citra yang tersendiri, yang dalam konteks isu ini, gabungan padu antara bahasa kebangsaan (yang menjadi tugas utama DBP) dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan kita,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Kajian Pembangunan Sabah, Prof. Madya Datuk Dr. Ramzah Dambul berpandangan, papan tanda dwibahasa pada dasarnya tidak diperlukan memandangkan negara mempunyai bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu dan penggunaan banyak bahasa pada papan tanda hanya mengundang kekeliruan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Kajian Pembangunan Sabah, Prof. Madya Datuk Dr. Ramzah Dambul.

Dalam masa sama, beliau yang juga Tokoh Etnik Sabah itu menyifatkan alasan penggunaan papan tanda dwibahasa sebagai elemen untuk menarik pelancong asing sebagai tidak masuk akal kerana tiada pelancong yang ke negara ini semata-mata kerana papan tanda dwibahasa.

“Untuk apa pelancong China mahu bergambar dengan papan tanda bahasa kebangsaan mereka di Kuala Lumpur? Nanti orang ingat dia melancong di Guang Zhou sahaja bukan melancong di luar negara,” katanya.

Malah, ujar beliau, semua mercu pelancongan terbaik di dunia juga tidak menggunakan papan tanda dwibahasa sebaliknya menggunakan bahasa ibunda masing-masing kerana ia memberikan pengalaman autentik kepada pelancong asing.

“Pelancong kita pun bukan dari satu negara tertentu saja. Tidak perlu terlalu taksub mauh ‘melayan’ hanya satu kelompok pelancong khusus.

“Pelancong Arab dari Asia Barat pun ramai di Kuala Lumpur, semuanya hidup bahagia tanpa papa tanda dalam bahasa mereka,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing mencetuskan polemik selepas menyifatkan tindakan penguatkuasaan mengenai peraturan papan tanda dwibahasa oleh DBKL menimbulkan rasa tidak puas hati serta wujud persepsi negatif dalam kalangan pelancong.

Tambah King Sing, tindakan itu menyebabkan pelancong mempersoalkan keterbukaan dan keterangkuman Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.

Terdahulu, media melaporkan DBKL minggu lalu melancarkan operasi berskala besar menyasarkan papan tanda yang tidak memaparkan bahasa Melayu di beberapa kawasan termasuk Segambut, Pudu dan Jalan Silang di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here