Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Ahmad Maslan Malam bergambar bersama pemenang pada majlis Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Anugerah Media Pembinaan CIDB 2024 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 25 NOVEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Pihak yang menyelenggara jalan di negeri, bandaran, desa dan pertanian diminta mengikuti prosedur operasi standard (SOP) peringkat Persekutuan dalam membaiki jalan rosak dalam tempoh 24 jam.

Timbalan Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, insiden sebuah syarikat penyelenggara jalan diarah membayar ganti rugi RM721,000 kepada seorang lelaki yang cedera selepas merempuh jalan berlubang yang tidak diselenggara di Pasir Gudang, Johor tidak harus berulang.

Katanya, kejadian itu berlaku kerana pihak berkenaan tidak mematuhi SOP.

“Saya harap SOP untuk menutup lubang jalan dan baiki jalan rosak hendaklah seperti SOP kami di Jalan Persekutuan yang mana kerosakan hendaklah di tampal dalam tempoh 24 jam, tak boleh lebih 24 jam.

“Jadi yang saya harapkan SOP diikuti di jalan negeri, yang dijaga oleh Jabatan Kerja Raya Negeri, diikuti jalan bandaran yang dijaga pihak berkuasa tempatan, jalan desa yang dijaga oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, jalan pertanian yang dijaga oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

“Tetapi SOP 24 jam itu belum lagi dipenuhi oleh agensi-agensi selain Jalan Persekutuan. Jadi harapan kita rakyat tidak mendapat kemudaratan bagaimana yang berlaku di Johor,” katanya.

Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Ahmad Maslan Malam berucap pada majlis Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Anugerah Media Pembinaan CIDB 2024 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 25 NOVEMBER 2024.

Beliau berkata demikian dalam ucapan majlis Anugerah Media Pembinaan CIDB 2024 (AMP 2024) di sini hari ini yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan KKR.

Mahkamah Sesyen Johor Bahru baru-baru ini memerintahkan sebuah syarikat penyelenggara jalan membayar ganti rugi RM721,000 kepada seorang lelaki yang cedera selepas merempuh jalan berlubang yang tidak diselenggara.

Mangsa yang berusia 49 tahun itu dianugerahkan RM721,000 untuk ganti rugi dan kecederaan yang dialami selepas motosikalnya merempuh jalan berlubang berhampiran Taman Kota Masai, tiga tahun lalu.

Sementara itu Ahmad Maslan berkata, dianggarkan sejumlah RM172 bilion akan dibelanjakan bagi sektor pembinaan tahun hadapan.

“2025 belanjawan RM86 bilion untuk pembangunan. Bila disebut RM86 bilion tahun depan, bererti industri pembinaan yang dapat manfaat juga berjumlah RM86 bilion.

“Berapakah peringkat swasta? Selalunya lebih kurang, dengan lain perkataan sektor pembangunan tahun depan RM86 bilion campur RM86 bilion, bermakna RM172 bilion tahun hadapan anggaran bagi sektor industri pembinaan negara kita,” kata beliau.

AMP kali ketujuh dianjurkan itu bagi meraikan meraikan kecemerlangan 40 wartawan dan jurugambar bagi menggalakkan kandungan kewartawanan dan media massa mengenai industri pembinaan.

Ini termasuk kandungan yang mengupas isu semasa berkaitan industri pembinaan seperti keselamatan, kelestarian alam sekitar, penggunaan teknologi serta topik-topik lain yang berkaitan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here