KUALA LUMPUR – Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di seluruh negara tidak gentar dalam menguatkuasakan undang-undang papan tanda yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan.
Presidennya, Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, Gapena menyokong penuh tindakan DBKL dalam menurunkan papan tanda yang tidak menggunakan bahasa Melayu selaras dengan peruntukan sedia ada.
Jelasnya, tindakan menegur dan menasihati dalam isu itu perlu diikuti dengan tindakan undang-undang sekiranya masih ada pemilik premis yang terus berdegil.
“Malaysia sebuah negara merdeka dan berdaulat, sebuah negara berperlembagaan dan memiliki undang-undang.
“Jangan beri muka kepada pihak-pihak yang cuba campur tangan kononnya untuk kepentingan para pelancong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing mencetuskan polemik selepas menyifatkan tindakan penguatkuasaan mengenai peraturan papan tanda dwibahasa oleh DBKL menimbulkan rasa tidak puas hati serta wujud persepsi negatif dalam kalangan pelancong.
Tambah King Sing, tindakan itu menyebabkan pelancong mempersoalkan keterbukaan dan keterangkuman Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.
Terdahulu, media melaporkan DBKL minggu lalu, melancarkan operasi berskala besar menyasarkan papan tanda yang tidak memaparkan bahasa Melayu di beberapa kawasan termasuk Segambut, Pudu, dan Jalan Silang di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Zainal Abidin menambah, pegawai dan anggota DBKL serta PBT di seluruh negara merupakan instrumen kenegaraan, justeru perlu melaksanakan undang-undang yang ditetapkan.
“Jangan khuatir dengan pihak-pihak yang cuba campur tangan, waima orang politik mahupun tokoh korporat dan perniagaan sekali pun,” katanya. – MalaysiaGazette