PETALING JAYA – Enam individu termasuk seorang wanita diberkas polis bagi membantu siasatan kehilangan sebuah kereta Ferrari di sebuah bengkel cuci kereta di Hulu Selangor dalam kejadian pada 17 November lalu.
Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan dibuat oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang dalam beberapa siri serbuan di lokasi berlainan.
“Kesemua suspek yang ditahan itu terdiri daripada lima warga tempatan dan seorang warga asing berusia lingkungan antara 23 hingga 40 tahun.
“Tangkapan suspek-suspek itu turut membantu polis menjumpai dan merampas lapan telefon bimbit pelbagai jenama, satu beg silang, sehelai pasport Malaysia, satu tali lanyard bersambung pisau berhulu.
“Dalam serbuan sama polis turut melakukan rampasan dua batang anak kunci berlambang Ferrari dan KIA, empat kereta iaitu Ferrari, Naza Suria, kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah jenama BMW X5, dan kereta BMW,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Hussein lagi, polis turut melakukan rampasan tiga alat kawalan jauh membabitkan kereta BMW, Honda dan Toyota, selain sekeping kad akses rumah serta sebungkus plastik lutsinar tertera tulisan diamond.
Menurut beliau semakan lanjut mendapati salah seorang daripada suspek memiliki dua rekod lampau kesalahan narkotik tidak dikehendaki manakala ujian saringan disahkan positif methaphetamine dan amphetamine.
“Tiga suspek telah diberi jaminan oleh polis manakala dua lagi suspek direman sehingga 27 November ini.
“Seorang lagi suspek direman sehingga 3 Disember depan untuk membantu siasatan lanjut.
“Pihak polis BSJ IPD Ampang Jaya masih meneruskan siasatan lanjut dan tindakan mengesan rakan-rakan sejenayah diteruskan dalam kes ini,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette