SEOUL – Hyundai Motor akan memulakan perkongsian strategik bersama INOKOM bagi pemasangan automotif beberapa model baharu di Malaysia pada tahun depan menerusi pelaburan bernilai RM2.16 bilion.
Pelaburan ini termasuk usaha menaik taraf kapasiti pemasangan INOKOM sedia ada bagi memenuhi keperluan automotif Hyundai.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, ia merupakan pelaburan terbesar syarikat berkenaan di Malaysia untuk tempoh enam tahun (2025-2030) yang bakal menawarkan beratus peluang pekerjaan berteknologi dan bergaji tinggi kepada rakyat tempatan.
Katanya pelaburan itu membabitkan pemasangan dan pengeluaran sebanyak enam model kereta termasuk model HEV serta sebuah kilang pemasangan pek bateri EV di Kulim, Kedah.
Tengku Zafrul berkata demikian kepada pemberita sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Korea Selatan.
Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan tertutup bersama beberapa konglomerat Korea Selatan termasuk Hyundai Motor, Lotte, OCI Holdings, Samsung, SK Nexilis dan POSCO.
Perdana Menteri dan delegasi tiba di Seoul pada Ahad untuk lawatan selama tiga hari bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang sedia ada antara Malaysia dan Korea Selatan.
Malaysia dan Korea Selatan bakal menyambut ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tahun depan.
Korea Selatan merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia manakala Malaysia merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Korea Selatan. – BERNAMA