Rendang lembu Sumatera Barat sumber Google

JAKARTA- Rendang Sumatera Barat perlu didaftarkan dengan UNESCO bagi mendapatkan pengiktirafan global sebagai satu warisan budaya dunia, kata Menteri Kebudayaan Indonesia, Fadli Zon.

Agensi berita ANTARA melaporkan, rendang bukan sahaja satu hidangan yang lazat tetapi turut kaya dengan nilai budaya.

Tambah Fadli, rendang juga adalah simbol identiti kulinari Indonesia.

“Rendang adalah salah satu hidangan kita yang sudah terkenal di serata dunia.

“Malah Gordon Ramsay (chef selebriti dari Britain) datang ke Sumatera Barat untuk belajar mengenai rendang,” katanya pada Isnin.

Katanya, dengan mendaftarkan rendang, beliau berharap hidangan itu akan terus dipelihara dan dalam masa sama memperkenalkan kekayaan kulinari Indonesia ke pentas antarabangsa.

Tambah Fadli, pengiktirafan oleh UNESCO itu juga adalah satu langkah strategik dalam merangsang sektor pelancongan dan ekonomi Indonesia.

Katanya, peningkatan minat terhadap budaya tempatan termasuk masakan tradisional dipercayai boleh meningkatkan kehadiran pelancong di samping memperkenalkan produk tempatan yang boleh menyokong ekonomi Indonesia.

Bagaimanapun, beliau tidak mengesahkan sama ada rendang akan didaftarkan khusus dengan UNESCO atau didaftar bersama warisan budaya yang lain.

“Kita akan lihat sama ada (pendaftaran) akan dibuat menerusi kertas cadangan tunggal atau kertas cadangan bersama khazanah warisan budaya yang lain,” katanya.

Setakat November 2024, UNESCO telah menyenaraikan 13 khazanah warisan budaya dari Indonesia termasuk wayang kulit, keris, batik dan alat muzik angklung dan gamelan.- Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast