KUALA LUMPUR- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperuntukkan RM3.37 juta ringgit bagi membantu pengusaha kopi khususnya di Nabawan dan Sook di Sabah.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, sejumlah RM2.24 juta diperuntukkan bagi pembinaan Coffee House dan Café Coffeelive di Stesen Pertanian Sepulut dan RM1.13 juta bagi menaik taraf pusat pengumpulan hasil kopi di Nabawan.
“Kerajaan Persekutuan bersama-sama Jabatan Pertanian Sabah komited membantu para pengusaha kopi di pedalaman Sabah untuk memainkan peranan yang aktif dalam merancakkan lagi industri kopi negara khususnya di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Coffee House dan Cafe Coffeelive di daerah Nabawan hari ini.
Menurut Arthur, KPKM melalui Jabatan Pertanian Malaysia telah memulakan projek ini sejak Rancangan Malaysia ke-11 (RMKe-11) dan diteruskan dalam RMKe-12 melalui Projek Pembangunan Industri Kopi dengan peruntukan sebanyak RM4.5 juta serta sasaran keluasan 300 hektar.
Jelasnya lagi, berdasarkan data perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Sabah, setakat tahun 2022, pengeluaran kopi perlu ditingkatkan dengan kadar sara diri (SSR) sekarang pada kadar 35 peratus.
Data ini berdasarkan keluasan bertanam iaitu 1,434.2 hektar, luas berhasil 936.1 hektar dan pengeluaran 936.1 tan.
Bagi pengeluaran kopi di daerah Nabawan dan Sook, keluasan bertanam setakat ini adalah 341.6 hektar dengan pengeluaran sebanyak 248 tan setahun mewakili 26.5 peratus pengeluaran kopi di Sabah.
Ini secara tidak langsung mencerminkan industri kopi mempunyai potensi yang masih luas dan terbuka untuk diterokai.
Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata peningkatan pengeluaran kopi perlulah disokong dengan aktiviti pemprosesan hiliran.
Produk hiliran berasaskan kopi akan dapat menambah nilai hasil kopi untuk pasaran tempatan dan juga eksport seterusnya meningkatkan pendapatan pengusaha kopi.
“Projek yang dibawa melalui Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan bagi mengoptimumkan penggunaan tanah dengan kerjasama kerajaan negeri merupakan inisiatif quick-win KPKM dan dijangka akan dapat disiapkan menjelang Februari 2025,” tambahnya lagi.
Sehubungan itu, Arthur menyeru agar para pengusaha tanaman kopi di Nabawan dan Sook menggunakan kemudahan ini sepenuhnya dan tidak lagi perlu ke Tenom.
Beliau turut menegaskan agar aspek pengurusan dan pengendalian Coffee House dan Café Coffeelive perlu dilaksanakan dengan teratur dan penekanan diberikan terhadap aspek kebersihan dan amalan mesra alam.
Beliau percaya projek ini akan memberi impak dalam membantu pengusaha tanaman kopi meningkatkan pendapatan untuk memperbaiki taraf sosio ekonomi, memberi peluang pekerjaan terutamanya kepada belia dan menghasilkan produk hiliran kopi yang berkualiti serta selamat di samping memenuhi standard pensijilan yang ditetapkan untuk pasaran dalam dan luar negara. -MalaysiaGazette