Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR- Kerajaan Kedah optimis negeri itu akan mula menjana hasil daripada aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) bermula tahun depan, kata Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau memberitahu kerajaan negeri telah menerima permohonan daripada tiga syarikat yang berminat untuk bekerjasama bagi meneroka dan membangunkan industri REE di negeri itu.

“Permohonan berkenaan adalah bagi mendapatkan kelulusan kerajaan untuk lesen mencari gali dan penjelajahan.

“Bagi merancakkan aktiviti ekonomi negeri dan peluang pelaburan pada peringkat selanjutnya dalam perlombongan, syarikat-syarikat tersebut disyaratkan untuk mengadakan usaha sama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri,” katanya.

Beliau menjawab soalan Amar Pared Mahamud (PN-Kuah) yang ingin tahu adakah kerajaan negeri telah berjaya mencari pelabur bagi meneroka dan membangunkan industri REE di Kedah, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Menurut Muhammad Sanusi kerajaan negeri juga telah mengenal pasti satu tapak berpotensi untuk perlombongan REE yang tidak melibatkan kawasan hutan simpan, dan berhasrat untuk memulakan aktiviti tersebut di lokasi berkenaan.

Katanya kerajaan negeri sangat berhati-hati dalam melaksanakan aktiviti perlombongan REE dan akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) eksplorasi REE yang ditetapkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Sementara itu, mengenai keupayaan sumber manusia, beliau berkata kerajaan negeri yakin mampu menyediakan keperluan tersebut termasuk kepakaran saintis dan ahli geologi tempatan yang berupaya mengekstrak unsur berkenaan.

“Sebelum ini, terdapat makmal di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang mampu membuat analisis, jadi saya percaya kita sudah mempunyai tenaga (sumber manusia) tempatan untuk menguraikan elemen ini, tapi kena ada peralatan sesuai,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Ts Dr Mohd Suffian Yusoff (PN-Bandar Baharu) yang bertanyakan tentang keupayaan kerajaan negeri untuk menyediakan sumber tenaga yang berkemahiran dalam industri REE.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here