KUALA LUMPUR – Konvokesyen ke-62 Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini meraikan kejayaan lima graduan dari India yang menamatkan pengajian mereka di kampus USM-KLE Program Perubatan Antarabangsa (IMP) di Belgaum, Karnataka, India.
Konvokesyen yang dilangsungkan di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) Kampus Induk USM itu melakar sejarah kepada kesemua graduan berkenaan yang mana ia merupakan kali pertama mereka datang ke Malaysia.
Sewaktu ditemuramah selepas upacara itu, para graduan tersebut berkongsi pengalaman mereka memilih USM sebagai tempat melanjutkan pengajian.
Bagi Vijayalakshmi Gulappa Hosamani, beliau menyifatkan sistem pengajian yang dijalankan USM sangat positif selain persekitaran kampus yang selesa dan kondusif dalam mengikuti pembelajaran.
Sehubungan itu, beliau merancang meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi di USM pada masa depan.
Bagi seorang lagi graduan, Sahana S. Keshetti, beliau tertarik dengan program ijazah antarabangsa perubatan ditawarkan menersi USM-KLE tersebut berikutan lokasinya yang berhampiran dengan tempat tinggalnya.
Mengimbau kembali pengalamannya, beliau mengakui agak gementar untuk mengikuti pengajian bidang perubatan pada awalnya, tetapi amat berpuas hati dengan kelancaran perjalanan program pengajiannya.
Bagi Daneshwari Hanji pula, beliau menyifatkan pengalaman konvokesyen di USM baru-baru ini melebihi jangkaannya dan memuji keselesaan susun atur tempat duduk dan panduan yang diberi yang amat membantu sewaktu berlangsungnya upacara tersebut.
Program USM-KLE IMP itu yang dimulakan pada 2010 di antara USM dan Konsortium Pendidikan Karnataka-Lingayat di Belgaum, India, menyaksikan 55 orang graduan menamatkan pengajian tahun ini.
Upacara Konvokesyen ke-62 USM sedang berlangsung di Kampus Induk USM dari 19 November dan berakhir hari ini. – MalaysiaGazette