GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang meluluskan peruntukan berjumlah RM15 juta bagi penganjuran acara sukan snuker dan biliard dalam Sukan SEA 2027.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatannya, Daniel Gooi Zi Sen berkata, keputusan itu diumumkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri baru-baru ini.
Jelas beliau, kerajaan negeri telah mencadangkan Akademi Biliard dan Snuker Wilayah Utara di Bayan Baru sebagai lokasi penganjuran kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Akademi ini dilengkapi dengan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa, selain berdekatan dengan Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (Arena SPICE) dan pelbagai kemudahan penginapan. Lokasinya juga strategik untuk merangsang aktiviti ekonomi tempatan.
“KBS turut sedang mempertimbangkan cadangan untuk menambah beberapa acara sukan dalaman lain berdasarkan kesesuaian kemudahan di Pulau Pinang.
“Perbincangan lanjut akan diadakan bersama KBS dan negeri-negeri lain yang turut terlibat dalam penganjuran Sukan SEA 2027 bagi memuktamadkan senarai acara dan lokasi yang akan berlangsung di Pulau Pinang,” katanya semasa sesi soal jawab dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.
Tambah Daniel, penganjuran acara sukan antarabangsa itu dijangka memberikan impak positif kepada ekonomi tempatan melalui pelancongan, penjualan tiket, penajaan korporat, serta meningkatkan imej negeri dan negara di peringkat global. – MalaysiaGazette