Warga asing yang menjalankan perniagaan di sekitar Pandan Mewah ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette Foto AIZAT ZAINAL, 26 NOVEMBER 2024.

AMPANG – Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Negeri Selangor diminta tidak memandang ringan tentang berlaku lambakan warga asing di kawasan rumah pangsa di Pandan Mewah, di sini.

Ia kerana, jumlah mereka bukan sedikit tetapi umpama ‘sekampung’ sehingga menimbulkan rasa tidak selamat oleh penduduk tempatan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Pandan Mewah, Hasbullah Umaruddin berkata, warga asing di sini kebanyakannya terdiri daripada warga Rohingya, Bangladesh, Myanmar dan Vietnam.

 

Penduduk setempat memaklumkan antara kedai yang diusahakan oleh warga asing ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Pandan Mewah, Ampang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 26 NOVEMBER 2024.

“Kalau tak percaya datang tengok berapa ramai mereka di sini, datanglah pada bila-bila masa tapi waktu malam memang mereka berkumpul.

“Mereka akan berkumpul di padang di kawasan blok A7. Blok A1 hingga A6 di belakang Hospital Ampang paling banyak penghuni atau penyewa warga asing.

“Mereka ramai kerana satu rumah duduk lebih lima orang atau ada berbelas-belas orang pun,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Bukan sahaja di blok perumahan ini, mereka juga menguasai kawasan industri di Jalan 6/4, Pandan Mewah yang mana hampir 80 peratus premis komersial menjadi penempatan mereka.

“Sebab itu saya katakan jumlah mereka cukup besar,” tambahnya.

Suasana kehidupan harian komuniti pelarian Rohingya ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Pandan Mewah, Ampang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 26 NOVEMBER 2024.

Hasbullah tidak menafikan kawasan ini menjadi tumpuan warga asing kerana kedudukannya yang tersorok di belakang kilang, komersial dan kawasan perumahan sekitar turut padat.

Faktor lain adalah pemilik rumah di sini sanggup menawarkan kadar sewa yang mahal antara RM700 hingga RM1,000 untuk sebuah rumah pangsa kepada mereka.

“Mereka ni tak kisah dengan kadar sewa. Dulu sikit tapi sekarang tengok. Mereka ni  boleh duduk berhimpit-himpit, sewa berapa pun tak kisah.

“Tapi sekarang jumlah mereka sangat banyak hingga timbul isu sosial,” jelasnya.

Beliau berkata, kawasan ini jadi tumpuan warga asing selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) pada 2021.

Kehadiran warga asing di situ, datang bersama ‘pakej’ jenayah – paling banyak berlaku kes ragut.

“Pernah berlaku depan mata saya sendiri, warga asing meragut penduduk di sini. Bukan itu sahaja, berlaku pergaduhan sesama mereka dalam keadaan mabuk sampai pegang pisau.

“Ini kawasan rumah kami, tempat kita. Mereka masuk, kita pula yang takut,” ujarnya.

Malam menjadi tempat warga asing ini berkumpul di kawasan lapang ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Pandan Mewah, Ampang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 26 NOVEMBER 2024.

Hasbullah berkata, dengan peningkatan jumlah warga asing ini, ada dalam kalangan mereka meluaskan ’empayar’ dengan menjalankan perniagaan di unit-unit kedai di sini.

“Mula-mula mereka menginap, kemudian menjalankan perniagaan menggunakan lesen ‘alibaba’ di kedai bawah rumah flat dan di kawasan industri itu tanpa ada sekatan pihak berkuasa.

“Anda boleh lihat di sini berapa ramai warga Rohingya yang buka kedai, mereka ada lesen ke kalau berstatus pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR)?,” soal beliau lagi.

MalaysiaGazette yang meninjau di kawasan terbabit mendapati, terdapat perniagaan percetakan, perusahaan kedai runcit termasuk kedai makan yang diusahakan warga Rohingya.

Namun tinjauan oleh petugas MalaysiaGazette terhad kerana pergerakan kami seolah-olah diperhatikan,malah ekori.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast