FLORIDA- Seorang pempengaruh TikTok ditahan kerana disyaki mencuri barangan bernilai AS$500 daripada pasaraya Target.
Penahanan dibuat selepas wanita berkenaan memuat naik video barangan berkenaan di media sosial yang mana dia mempunyai ratusan ribu pengikut.
Marlena Velez, 22, didakwa mencuri 16 pelbagai barang kegunaan rumah dan pakaian dengan mengimbas kod bar palsu di kaunter layan diri di Target, Cape Coral, Florida bagi mendapatkan harga yang lebih murah, 30 Oktober lalu.
Perbuatan itu sempat dirakam CCTV, pasaraya berkenaan.
Menurut polis, pihaknya menerima maklumat awam menerusi Instagram selepas memuat naik gambar Velez yang ketika itu masih belum dikenal pasti identitinya.
Pemberi maklumat berkenaan seterusnya memaklumkan pihak berkuasa mengenai nama pempengaruh tersebut, tarikh lahir dan akaun Instagramnya yang sering memuat naik kandungan aktiviti kehidupan harian.
Polis kemudiannya menemukan akaun TikTok Velez yang memaparkan satu hantaran pada 30 Oktober yang menunjukkan dia sedang bersiap untuk ke Target.
Velez juga didapati memakai pakaian yang sama seperti dirakam oleh CCTV pasaraya berkenaan.
Malah pempengaruh itu turut merakam dirinya sendiri sedang mengambil beberapa barangan di pasaraya berkenaan sebelum membawanya pulang.
“Semuanya sudah dirakam,” kata jurucakap polis, Mercedes Philips.
Velez ditahan dan dituduh kerana mencuri.
Dia dilaporkan telah dibebaskan dengan jaminan sebanyak AS$150 dolar dan dijadualkan untuk perbicaraan di mahkamah, 10 Disember ini. -Agensi