GERMANY-LITERATURE-FRANKFURT-BOOK-FAIR
Gambar hiasan Foto AFP

Revolusi teknologi kecerdasan buatan (AI) sedang mengubah landskap kerja di seluruh dunia, dan Malaysia tidak ketinggalan dalam proses transformasi ini termasuk sektor awam. AI dilihat berpotensi besar meningkatkan kecekapan perkhidmatan, menjimatkan kos dan mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Namun, untuk memastikan manfaat ini dapat dicapai sepenuhnya, kerajaan perlu memainkan peranan utama dalam menyediakan sokongan yang mencukupi dalam kesediaan penjawat awam untuk beradaptasi dengan perubahan ini khususnya dalam aspek latihan dan peningkatan kemahiran.

AI mempunyai keupayaan untuk menyelesaikan masalah kompleks, menganalisis data berskala besar dan menyediakan pandangan strategik dengan lebih pantas.

Dalam urusan perkhidmatan kaunter kerajaan misalnya, urusan kaunter akan lebih mudah dengan hanya menyediakan mesin layan diri yang menggunakan AI sebagai pengganti pekerja untuk sebarang perkhidmatan yang diprogramkan.

Ini bukan sahaja mengelakkan daripada kesesakan beratur panjang, malah menjimatkan masa, tenaga serta kos.

Salah satu cabaran utama ialah kekurangan pemahaman dan kemahiran tentang teknologi AI di kalangan penjawat awam.

Banyak sistem yang diperkenalkan berdasarkan AI memerlukan pemahaman asas tentang analitik data, pengendalian sistem automasi, dan keupayaan mentafsir maklumat yang dihasilkan oleh AI.

Kekurangan kemahiran ini boleh menyebabkan penjawat awam merasa terasing dengan teknologi baharu, sekali gus mengurangkan keberkesanan penggunaannya.

Pensyarah Fakulti Pengajian Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Azwadi Ali mendedahkan bahawa kajian soal selidik yang  dijalankan ke atas sekumpulan penjawat awam mendapati golongan itu sedar akan kepentingan penggunaan AI dalam meningkatkan prestasi dan mutu perkhidmatan awam.

“Kajian ini telah menunjukkan bahawa akauntan sektor awam di Malaysia secara umumnya bersikappositif terhadap penggunaan AI dalam bidang perakaunan, dengan 95% responden bersetuju bahawa pengembangan ciri AI berpotensi meningkatkan keberkesanan perakaunan sektor awam”

Menurutnya, kajian yang dijalankan melibatkan 167 responden yang menjalankan tugas dalam bidang perakaunan dan kewangan daripada pelbagai gred turut menunjukkan bahawa pemahaman dan ketidakpastian menjadi cabaran utama dalam fasa peralihan serta proses adaptasi teknologi AI dalam bidang perakaunan seperti pengecaman aksara optik (OCR), automasi proses robotik (RPA) dan pengesanan anomali.

Sementara itu, pensyarah yang juga penyelidik bersama, Zaira Aniza Samsudin juga mendapati sebahagian responden mempunyai pengetahuan AI yang terhad.

“Melalui kajian yang dijalankan, kami dapati tahap kesedaran akauntan sektor awam mengenai AI dalam perakaunan adalah tinggi, tetapi sebahagian besar daripada mereka masih mempunyai pengetahuan yang terhad tentang proses integrasi AI. Ini menekankan tentang perlunya program pendidikan dan kesedaran berterusan bagi meningkatkan pemahaman dan penerimaan teknologi ini”

Penggunaan AI dalam sektor awam bukan lagi pilihan, tetapi keperluan mendesak untuk menghadapi cabaran dunia moden. Namun, untuk mencapai keberkesanan maksimum, penjawat awam perlu dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan yang sewajarnya.

Bantuan kerajaan dalam bentuk latihan, kemahiran dan penyediaan infrastruktur pembelajaran yang holistik adalah kunci untuk memastikan kejayaan transformasi digital sektor awam, sekaligus meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang memanfaatkan teknologi secara optimum untuk kesejahteraan semua.

Oleh,

Amirul Salam Hasan

Pejabat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Terengganu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast