Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 18 NOVEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan permohonan maaf beliau kepada rakyat Jepun dan China baru-baru ini tiada kaitan langsung dengan isu papan tanda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dibangkitkan sebelum ini.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, permohonan maaf berkontroversi dibuat berikutan insiden kemalangan serius yang melibatkan pelancong Jepun dan China di Malaysia, dan ia adalah satu tanggungjawab sebagai tuan rumah untuk memastikan keselamatan pelancong asing melawat negara ini.

“Saya memohon maaf atas kelemahan di pihak kami dalam memastikan keselamatan pelancong. Ini bukan sekadar permohonan maaf tanpa sebab, sebaliknya usaha untuk menunjukkan rasa tanggungjawab dan keprihatinan.

“Permohonan maaf ini sama sekali tidak berkaitan dengan isu papan tanda. Fokus utama adalah keselamatan dan kebajikan pelancong yang memilih Malaysia sebagai destinasi percutian mereka,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, King Sing mempersoalkan kenyataan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mengaitkan permohonan maaf itu dengan isu papan tanda sehingga mencetuskan kontroversi.

Kata King Sing, dalam isu papan tanda, sepatutnya DBKL menangani isu itu dengan cara yang lebih harmoni, khususnya dalam berkomunikasi dengan peniaga tempatan.

“Seperti yang pernah disebut Perdana Menteri, kita adalah satu keluarga besar. Jika komunikasi dilakukan dengan baik dan berkesan, isu ini tidak perlu diperbesarkan hingga mencetuskan ketegangan.

“Isu seperti ini dapat diselesaikan melalui dialog yang lebih hormat, tanpa menjejaskan keharmonian dan perpaduan masyarakat. Ada pihak cuba cetuskan kekeliruan dan ganggu-gugat keharmonian rakyat.

“Saya kecewa dengan sikap seperti Ahli Parlimen Machang yang seolah-olah mahu mencari publisiti murahan. Sebagai pemimpin, seharusnya kita bertanggungjawab mencari penyelesaian kepada masalah rakyat, bukannya mencipta isu baru,” tegasnya.

King Sing juga menyelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh, kerana dilihat selalu memainkan sentimen perkauman sehingga menjejaskan keharmonian serta kestabilan pada setiap masa.

“Kenyataan seperti itu hanya memalukan parti sendiri. Kita harus mencari jalan untuk memupuk perpaduan, bukannya menimbulkan ketegangan dalam masyarakat pada setiap masa. Rakyat Melaka perlu kamu untuk fokus isu-isu berkaitan mereka bukan cetus polemik setiap waktu.

“Begitu juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang selalu cuba jadi hero tanpa siasat sesuatu perkara sebaliknya terus mengeluarkan pelbagai jenis kenyataan. Sebelum ini juga, anda pernah jadi Timbalan Menteri MOTAC, apakah rekod anda?

“Berapa ramai pelancong datang ke negara masa Mas Ermieyati jadi Timbalan Menteri ketika itu,” soal beliau.

Kata King Sing lagi, beliau bersama kementeriannya sedang berusaha membantu peniaga kecil untuk berkembang, khususnya bagi menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia.

Kesejahteraan ekonomi rakyat adalah keutamaan kami, dan setiap keputusan dibuat demi manfaat bersama, tambahnya.

Beliau menyeru semua pihak untuk memberi fokus kepada kestabilan politik, perpaduan, dan pembangunan negara sambil memastikan imej Malaysia kekal positif di mata dunia. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here