KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tiong King Sing dengan kedudukan sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya boleh menjawab dengan mudah isu kedaulatan bahasa kebangsaan kepada pelawat.
Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi, King Sing seharusnya menjelaskan kepada pelancong yang menimbulkan isu berkenaan mengenai kedudukan Bahasa Melayu dalam Perlembagaan.
Malah kata Ahli Dewan Undangan Negeri Rengit itu, King Sing boleh melontarkan persoalan kepada pelancong berkenaan sama ada pernah melihat berlakunya pergaduhan kaum di negara ini.
“Datuk Seri Tiong King Sing Menteri Pelancongan dakwa ada pelancong bertanya kepadanya apakah Malaysia mengamalkan diskriminasi kaum akibat tindakan keras DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) terhadap papan iklan yang tidak guna Bahasa Melayu?
“Sebagai menteri, Tiong patut tanya balik, apakah kamu nampak ada pergaduhan kaum di Malaysia. Apakah ada rumah berhala, kuil, kedai arak dan judi yang dirobohkan?
“Sebagai menteri dia boleh jawab mudah bahawa ini soal dasar. Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Ia termaktub di dalam perlembagaan,” kata Mohd Puad.
Beliau turut mengaskan, negara lebih mengalami kerugian jika mengabaikan Bahasa Melayu sebagai medium perpaduan berbanding kerugian yang ditanggung oleh peniaga kerana terpaksa mengeluarkan modal untuk membuat iklan baru.
“Tujuan dasar Bahasa Kebangsaan ialah perpaduan. Ada yang kata para perniaga rugi banyak untuk buat iklan baru.
“Tidakkah negara rugi satu generasi kerana mengabaikan dasar perpaduan melalui bahasa?” soal Mohd. Puad.
Portal Malaysiakini sebelum ini melaporkan, King Sing berkata, dia ada menerima pertanyaan daripada pelancong asing mengenai jika Malaysia adalah sebuah negara bersifat perkauman atau ekstrem agama.
Ini berikutan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke atas beberapa premis yang mengabaikan penggunaan Bahasa Melayu di ibu negara.
“Keraguan ini secara langsung mempengaruhi keputusan pelancong untuk melawat Malaysia dan membantutkan daya saing negara di persada global.
“Dengan Malaysia bersedia untuk menjadi pengerusi ASEAN pada 2025, dengan beberapa siri mesyuarat ASEAN dijadual berlangsung di negara ini tahun depan, ini memberi peluang keemasan untuk mempamerkan kepelbagaian dan keterangkuman Malaysia di pentas global.
“Bagaimanapun, saya memberi amaran kontroversi perkauman atau agama yang berterusan akan menghakis kepercayaan dan kerjasama antarabangsa, yang berisiko memberi impak negatif terhadap kempen Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya dalam kenyataan.
DBKL dalam kenyataan menegaskan tindakan diambil terhadap premis perniagaan sekitar Kuala Lumpur adalah untuk memastikan pematuhan peraturan ditetapkan.
Ini kerana mereka merujuk kepada Undang-Undang Kecil (UUK) Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982 di bawah Aktar Kerajaan Tempatan 1976 yang menegaskan kesemua papan tanda pernaigaan perlu ditulis dalam Bahasa Melayu. – MalaysiaGazette