KUALA LUMPUR – Majlis Kuil-Kuil dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) melahirkan kebimbangan terhadap cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menyekat permohonan dana bagi rumah ibadat bukan Islam selama tiga tahun bagi rumah ibadat yang telah memohon sebelumnya.
Presiden Mahima, Datuk Sivakumar Nadarajah berkata, sekatan melalui sistem e-RIBI itu tidak masuk akal dan mengecewakan.
Kata Sivakumar, cadangan ini juga tidak relevan dan tidak rasional pada masa kini berikutan situasi ekonomi yang tidak menentu.
“Dengan kenaikan kos barangan dan tekanan kewangan yang dihadapi oleh rakyat, sekatan selama tiga tahun ini tidak membantu rumah ibadat bukan Islam yang bergantung kepada peruntukan untuk pengurusan, penambahbaikan infrastruktur, serta penganjuran perayaan dan sambutan keagamaan setiap bulan adalah tidak masuk akal.
“Rumah beribadat di negara ini bukan hanya tempat sembahyang untuk penganut tetapi juga berfungsi sebagai pusat komuniti yang menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
“Sebagai contoh, banyak kuil Hindu menyediakan makanan percuma kepada semua lapisan masyarakat setiap hari dengan peruntukan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Sivakumar, Kerajaan Madani sebenarnya perlu menilai secara teliti keperluan masyarakat sebelum memperkenalkan dasar seperti ini termasuklah aspek-aspek lain, termasuklah mengambil kira situasi kecemasan dihadapi oleh rumah-rumah beribadat ini.
Cadang beliau, kerajaan boleh memberikan peruntukan dana ditetapkan setiap tahun dengan penilaian menyeluruh oleh pegawai kementerian terhadap keperluan sebenar rumah ibadat.
“Bagi kuil Hindu, faktor seperti keluasan kuil, jumlah penganut, aktiviti kemasyarakatan, serta penganjuran perayaan dan festival harus diberi keutamaan,” ujarnya.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, pihaknya sedang meneliti mekanisme yang lebih efisien untuk memastikan agihan dana kepada rumah ibadat bukan Islam dilakukan secara telus dan adil.
Kata Aiman Athirah, sehingga 30 September lalu, sebanyak 422 daripada 1,074 permohonan telah diluluskan, melibatkan jumlah peruntukan RM46.1 juta. – MalaysiaGazette