KUALA LUMPUR – Tujuh remaja, termasuk dua perempuan, ditahan kerana disyaki menculik seorang gadis bawah umur di Taman Kem, Pelabuhan Klang, Selangor 16 November lalu.
Suspek ditahan pada 18 dan 19 November di I-City, Seksyen 7, Shah Alam dan Mid Valley Megamall, Bangsar, Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, polis menerima laporan daripada seorang lelaki, 47, mengenai insiden tersebut.
Katanya, dalam aduan itu pengadu menyatakan kira-kira jam 4 petang, anak perempuannya berusia 15 tahun telah keluar dari rumah dan sehingga jam 6.30 petang, mangsa tidak balik ke rumah.
“Siasatan mendapati apabila dihubungi, pengadu menerima pesanan suara dari nombor telefon mangsa yang mengelirukan kedudukan mangsa sebelum bertindak pantas membuat laporan polis kerana risau akan keselamatan anak perempuannya itu.
“Hasil siasatan mendapati, mangsa telah keluar dari rumah pengadu di sebuah pangsapuri di Lorong Berembang di Taman Kem, Pelabuhan Klang manakala pesanan suara yang diterima adalah meminta pengadu untuk mengambil mangsa di kawasan Subang dalam keadaan sedang bertengkar dengan seorang lelaki disyaki suspek serta menghantar lokasi kedudukan semasa mangsa.
“Pengadu telah bergegas ke lokasi tersebut untuk mendapatkan anaknya tetapi sejurus tiba di sana mendapati mangsa tiada di kawasan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Hoong Fong, pengadu kemudian menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp daripada suspek menyatakan dia akan melepaskan mangsa di Kuala Lumpur.
Namun katanya, apabila pengadu menyatakan akan membuat laporan polis mengenai insiden itu, suspek mengugut pengadu akan menjual mangsa dan meminta membayar ganti rugi jika hendak pulangkan mangsa.
“Bertindak atas maklumat, pada jam lebih kurang 11 malam 18 November lalu iaitu dua hari selepas laporan polis dibuat pengadu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan membuat serbuan di sebuah pangsapuri di I-City, Seksyen 7, Shah Alam.
“Hasil pemeriksaan di dalam rumah itu pasukan polis berjaya menjumpai dan menyelamatkan mangsa gadis remaja yang dilaporkan diculik dalam keadaan selamat dan menangkap seramai tiga orang suspek lelaki dan dua orang perempuan berumur lingkungan 15 hingga 19 tahun.
“Berpandukan tangkapan pertama itu, pasukan 19 November lalu jam lebih kurang 1.10 pagi membuat satu lagi tangkapan susulan terhadap dua orang suspek lelaki berumur dalam lingkungan 16 dan 18 tahun di perkarangan sebuah pusat membeli belah Mid Valley Megamall, Bangsar bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Kata beliau, semakan mendapati kesemua suspek yang ditangkap tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau jenayah.
Tambahnya, kesemua suspek direman antara sehari dan 4 hari sehingga 22 November lalu untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mengambil atau memikat kanak-kanak perempuan berumur 16 tahun ke bawah tanpa kerelaan penjaga yang sah.
“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.
“Bagaimanapun,semua suspek terbabit telah dijamin oleh polis sementara kertas siasatan dilengkapkan dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.
“Pihak polis menyeru agar orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, untuk hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan,” ujar beliau.-MalaysiaGazette