Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, TM berkata, hasil turut menurun sebanyak 1.2 peratus kepada RM2.91 bilion daripada RM2.95 bilion sebelumnya.
“Penurunan kecil itu mencerminkan landskap persaingan yang mencabar pada 2024,” kata TM.
Bagi tempoh sembilan bulan terkumpul berakhir 30 Sept, 2024, keuntungan bersih lebih rendah kepada RM1.28 bilion berbanding RM1.43 bilion pada tempoh yang sama 2023.
Hasil turun sedikit kepada RM8.66 bilion berbanding RM8.69 bilion untuk tempoh terkumpul yang sama sebelum ini.
Dari segi tahun ke tahun, kumpulan itu melaporkan hasil operasi sebanyak RM8.66 bilion, penurunan sederhana 0.4 peratus berbanding RM8.69 bilion tahun lepas.
Walaupun begitu, keuntungan operasi kumpulan sebelum keuntungan lain dan kos kewangan meningkat sebanyak 7.9 peratus kepada RM1.81 bilion daripada RM1.67 bilion pada suku ketiga 2023, didorong oleh perbelanjaan operasi yang lebih rendah daripada inisiatif pengurusan kos berterusan kumpulan.
“Ini diperkuatkan lagi oleh kunci kira-kira yang kukuh dan rizab tunai kami, yang menonjolkan kedudukan kewangan kumpulan yang sihat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Amar Huzaimi Md Deris dalam satu kenyataan.
Beliau berkata pangkalan pelanggan jalur lebar TM terus berkembang dengan mantap, dipacu oleh kempen Unifi UniVerse.
Ia juga terus mengembangkan kerjasama dengan perusahaan dan agensi kerajaan untuk mempercepatkan penggunaan digital seperti 5G, perkhidmatan pintar, penjagaan kesihatan dan pendidikan.
“Pada masa yang sama, kami tetap teguh dalam menyediakan infrastruktur yang kukuh untuk menghubungkan dunia ke Malaysia, termasuk kabel dasar laut dan pusat data bagi memacu transformasi digital negara dan mengukuhkan peranannya sebagai hab digital bagi ASEAN,” kata Amar Huzaimi.
Beliau juga berkata untuk suku akhir 2024, TM menggunakan pendekatan yang lebih proaktif bagi meningkatkan hasil melalui penumpuan kepada mudah alih tetap dan memanfaatkan teknologi baharu seperti penyelesaian 5G, awan dan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan pengalaman pelanggan.
“Kesimpulannya, dengan strategi yang jelas dan pelaksanaan yang kukuh, digabungkan dengan tumpuan kepada kecekapan kos yang berdisiplin, kami yakin dalam mengekalkan momentum pertumbuhan TM, memastikan kami berada di landasan yang kukuh untuk menjadi kuasa digital menjelang 2030,” kata Amar Huzaimi.
Kumpulan itu mengekalkan prospek positif untuk menutup tahun dan kekal di landasan bagi mencapai panduan pasarannya yang dikeluarkan untuk 2024. – BERNAMA