KUALA LUMPUR – Veteran UMNO meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan untuk menggantikan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing dengan pemimpin lain yang lebih berwibawa susulan kontroversi papan tanda dwibahasa.
Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, tindakan itu demi menjaga nama baik dan imej negara.
Ujar beliau, adalah memalukan untuk negara mempunyai menteri seperti King Sing yang sepatutnya menjual produk Malaysia untuk menarik pelancong tetapi malangnya membuat kenyataan seolah-olah negara ini tidak aman dan selamat.
“Tiong (King Sing) sengaja menimbulkan isu bahasa ini kerana dia anti-Bahasa Melayu. Tiong juga anti negaranya sendiri, Malaysia.
“Tiong tidak patriotik dan nasionalis. Dia lebih Cina dari Cina tanah besar. Sikap rasisnya jelas sehingga terbawa-bawa kepada penduduk negara asing,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mustapha berkata, tidak ada mana-mana negara di dunia yang memberi layanan istimewa kepada pelancong asing sehingga ke tahap perlu menukar papan tanda kepada bahasa negara lain.
“Orang Melayu yang melawat China bukan sedikit. Tapi papan iklan di pusat beli belah di Beijing, Shanghai dan lain-lain tetap dalam Bahasa Mandarin. Kalau ada terjemahan pun dalam Bahasa Inggeris,” katanya.
Dalam pada itu, Mustapha menyifatkan dakwaan King Sing kononnya beliau ditanya oleh pelancong asing sama ada Malaysia adalah negara perkauman hanya kerana isu bahasa pada papan tanda sebagai pembohongan dan ‘wayang Cina’.
Sebelum ini, King Sing mencetuskan polemik selepas menyifatkan tindakan penguatkuasaan mengenai peraturan papan tanda dwibahasa oleh DBKL menimbulkan rasa tidak puas hati serta wujud persepsi negatif dalam kalangan pelancong.
Tambah King Sing, tindakan itu menyebabkan pelancong mempersoalkan keterbukaan dan keterangkuman Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.
Terdahulu, media melaporkan DBKL minggu lalu melancarkan operasi berskala besar menyasarkan papan tanda yang tidak memaparkan bahasa Melayu di beberapa kawasan termasuk Segambut, Pudu dan Jalan Silang di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette