PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memberi peringatan kepada pelajar khasnya institusi pengajian tinggi (IPT) supaya elak daripada melakukan aktiviti luar terutamanya berkaitan air ketika fenomena Monsun Timur Laut (MTL).
Lantaran itu, pelajar dan pengurusan IPT perlu mengambil semua langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku membabitkan pelajar.
“Kita menasihatkan kepada pelajar-pelajar supaya mengambil langkah perlu. Ini musim MTL dan perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan sebagainya,” katanya ketika meninjau persediaan Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) di sini hari ini.
Sebelum ini Zambry sudah memberi arahan supaya semua IPT agar membuat persediaan sewajarnya bagi berdepan bencana banjir susulan fenomena MTL pada bulan ini.
Semalam, kerajaan negeri Kelantan mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti luar susulan musim MTL ini. -MalaysiaGazette