PU Azman

SEREMBAN- Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak satu daripada dua representasi dikemukakan oleh pendakwah selebriti, PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias yang berdepan pertuduhan amang seksual fizikal kanak-kanak di Mahkamah Sesyen di sini.

Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi memaklumkan perkara itu di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

“Representasi telah diangkat ke ibu pejabat (AGC), terdapat dua keputusan reprentasi iaitu bagi kes mangsa berusia 16 tahun 10 bulan diterima, manakala bagi satu representasi (mangsa berusia 17 tahun) telah ditolak. Arahan diteruskan perbicaraan mengikut pertuduhan asal,” katanya ketika sebutan kes di mahkamah di sini hari ini.

Peguam tertuduh Mohamad Zahid Ahmad dan Fahmi Adilah memohon tarikh singkat kepada mahkamah bagi berbincang dengan anak guam tentang pendirian berhubung keputusan representasi tersebut.

Turut bersama mengendalikan kes DPP Nurul Balkis Zunaidi dan Noraziha Asmuni, dan Mahkamah menetapkan 17 Dis ini bagi keputusan berhubung perkara itu.

Bercakap kepada pemberita selepas prosiding itu, Mohamad Zahid  berkata pihaknya tidak dapat mendedahkan secara terperinci keputusan representasi itu kerana tidak mahu mendahului mahkamah serta perlu merujuk kepada anak guam.

“Hari ini adalah keputusan representasi, jawapan di mahkamah tadi ada yang diterima dan ada ditolak… apa keputusan itu saya tidak boleh sebut sebab kita tidak mahu mendahului mahkamah.

“Anak guam saya dalam keadaan baik, dia minta semua mendoakannya,” katanya.

Di Mahkamah Sesyen di sini, Azman Syah, 43, berdepan lima pertuduhan amang seksual terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai 2022.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumahnya di Taman Tiara Sendayan di Nilai.

Sebelum ini Mahkamah Sesyen Klang, menjatuhkan hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan terhadap pendakwah selebriti itu selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun, dua tahun lalu.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here