KAPIT – Sorang warga emas maut selepas kereta dipandunya terperangkap sebelum dihanyutkan arus deras ke sungai dalam kejadian banjir kilat di Kilometer 4 Jalan Selirik, di sini, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kapit, DSP Rohana Nanu berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6 pagi semasa Pastor Bangau Amping, 75, sedang dalam perjalanan pulang selepas menghantar isteri berniaga di hadapan SK Methodist.
“Semasa kejadian, air telah melepasi jalan raya akibat hujan lebat sejak malam tadi dan arus kuat menyebabkan kereta dipandunya dihanyutkan ke dalam Sungai Selepong berdekatan.
“Mangsa berjaya dikeluarkan sekitar pukul 7.40 pagi tadi, namun disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu Ketua Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie berkata, tiga anggota bomba yang sedang bertugas membantu mangsa banjir di RH Richard Engking, Sungai Amang bergegas ke lokasi berdekatan persimpangan Tatai Kenyalang, kira-kira 1.4km dari rumah panjang tersebut selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 7 pagi.
“Setiba di lokasi mereka mendapati terdapat sebuah kereta Proton Saga berada di dalam sungai dan mangsa masih berada di dalam kereta. Mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Beberapa kawasan di Kapit di bahagian tengah Sarawak dilanda banjir kilat sekitar pukul 5 pagi. – Bernama